
SEBUAH inisiatif kreatif yang dijalankan penduduk tempatan di Krabi, Thailand menarik perhatian ramai apabila tayar-tayar terpakai digunakan sebagai penghadang jalan di selekoh berbahaya bagi mengurangkan impak kemalangan.
Menerusi perkongsian Omar Baihaki di laman Facebook, tayar-tayar itu ditempatkan di Tham Chang Curve, lokasi yang dikenali sebagai ‘perangkap maut’ kepada ramai pengguna jalan raya.
Langkah itu tercetus sejurus tiba di Krabi apabila dia melihat potensi tayar lama untuk dijadikan alat keselamatan alternatif.
BACA LAGI: Buluh jadi penghadang jalan: Mudah cuma kurang praktikal — Pakar
Menurut Omar, idea tersebut bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah turut menjimatkan kos, menggalakkan amalan kitar semula dan menawarkan penyelesaian segera kepada isu keselamatan jalan raya.
Dia turut menggambarkan bagaimana penggunaan tayar lama itu memberi impak besar meskipun tanpa sokongan bajet besar.
"Sebaik sahaja di Krabi, 'idea hebat' muncul! Menggunakan tayar lama untuk membuat pagar di tepi jalan bagi mengurangkan keterukan kemalangan.
"Percubaan pertama adalah di Tham Chang Curve, tempat berbahaya di Krabi.
"Idea ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya, tetapi juga menjimatkan bajet, mengitar semula barang lama, dan meningkatkan keselamatan dengan cara yang kos efektif," tulisnya.
Perkongsiannya itu menerima reaksi pelbagai daripada warganet.
Seorang warga maya, Hafizzudin Omar memuji usaha tersebut sebagai inovatif dan bijak, memandangkan banyak litar perlumbaan seperti Sepang dan F1 turut menggunakan tayar sebagai dinding keselamatan di zon berisiko tinggi.
"Kalau nampak litar Sepang di Selangor dan trek perlumbaan pun banyak guna kaedah ini. Boleh diguna pakai di kawasan luar bandar. Jimat pun jimat," katanya.
Malah, cadangan itu turut mengundang perbincangan tentang kemungkinan idea sama patut dilaksanakan di Kedah termasuklah di sepanjang Sungai Korok yang baru-baru ini meragut enam nyawa sebuah keluarga apabila kenderaan mereka naiki terjunam ke dalam sungai.
Tragedi menyayat hati itu mencetuskan kebimbangan masyarakat tentang keperluan pagar keselamatan yang lebih berkesan di lokasi-lokasi berisiko tinggi, khususnya di laluan yang bersebelahan sungai, selekoh tajam atau jalan yang sering dinaiki air.
Seorang warga maya, Muhamad Ihsan berkata, penggunaan tayar terpakai sebagai langkah pencegahan awal mungkin boleh dipertimbangkan sebagai solusi segera sementara menunggu pelaksanaan infrastruktur kekal di Sungai Korok.
"Belajar dari tragedi Sungai Korok, nak tunggu cadangan lain lama lagi. Nak tanam buluh pun makan masa bertahun, ini cara yang paling cepat dan jimat.
"Meskipun bukan penyelesaian mutlak, pendekatan seperti itu membuktikan bahawa tindakan akar umbi yang kreatif dan prihatin mampu menyumbang kepada keselamatan awam, asalkan dilaksanakan dengan teliti dan disusuli pemantauan yang rapi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram