'Tiada lagi port jenayah', Kerteh FC beri nafas baharu bukan saja fans, malah stadium di Terengganu


  • Podium
  • Ahad, 20 Jul 2025

Keadaan terkini Stadium Mini Kerteh setelah diambil alih oleh kelab bola sepak tempatan, Kerteh FC. — Gambar/Facebook Kerteh FC

STADIUM Mini Kerteh yang terletak di Kerteh, Terengganu yang dahulunya menjadi ‘port’ aktiviti tidak bermoral kini berubah wajah selepas diambil alih oleh kelab bola sepak tempatan, Kerteh FC. 

Stadium itu menjadi gelanggang rasmi kepada Kerteh FC, sebuah kelab bola sepak amatur yang ditubuhkan pada tahun 2018 dan kini beraksi dalam Liga Amatur Terengganu (TAL), sebahagian daripada Liga M4 Malaysia.

Perubahan ketara itu turut dikongsi oleh seorang wanita, Nursyazwani Tawang menerusi catatan di laman Facebook miliknya yang mendedahkan keadaan awal stadium tersebut sebelum proses pengambilalihan dilakukan.

BACA LAGI : Pestabola Merdeka serlah keunggulan bintang Cina dalam bola sepak Malaysia

BACA LAGI : Piala Dunia bukan tiket jaminan, 3 ex import termasuk bintang EPL Sabah FC 'karam' di Liga Super

"Kondom, jarum... ini antara benda yang dia orang jumpa masa nak ambil alih stadium Kerteh FC sekarang. 

"Keadaan toilet stadium sebelum di ambil alih, memang mengucap panjang. Jangan pelik, ini lumrah.

Memang berlaku," katanya dalam hantaran tersebut pada Ahad.

Menurut Nursyazwani, lokasi itu sebelum ini sering dijadikan tempat ponteng sekolah dan aktiviti jenayah oleh segelintir remaja yang menyalahgunakan ruang tersebut tanpa kawalan.

“Anak kata pergi sekolah, rupanya ponteng buat projek. Nak harapkan cikgu pun susah, tegur salah, rotan salah, silap haribulan cikgu pula yang kena,” tulisnya lagi.

Namun semuanya berubah apabila Kerteh FC tampil mengambil inisiatif menguruskan semula stadium berkenaan secara profesional, menjadikannya pusat latihan bola sepak yang lebih sistematik dan terbuka kepada bakat muda.

Malah, menurut Nursyazwani, sejak kelab itu mengambil alih kawasan tersebut, statistik kes jenayah seperti rogol dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan itu turut menunjukkan penurunan.

“Polis sendiri ucap terima kasih. Kes rogol, dadah semua berkurang sebab ‘port’ mereka dah dirampas oleh aktiviti sukan yang sihat,” katanya.

Hari ini, stadium yang dahulunya suram kini meriah dengan aktiviti pembangunan akar umbi bola sepak, sekali gus menjadi lokasi pembinaan disiplin dan potensi generasi muda Terengganu.

“Kalau anak saya lelaki, dah lama saya hantar main bola di situ,” ujar Nursyazwani dengan nada berseloroh namun penuh harapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram