
KES yang membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah menengah di Sabah menjadi insiden hangat yang menjadi bualan masyarakat ketika ini.
Tragedi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dan persoalan berhubung dakwaan insiden buli yang dikatakan menjadi punca utama kejadian tragik itu.
Mangsa, Zara Qairina, difahamkan mengalami tekanan emosi dipercayai akibat dibuli, menurut perkongsian awal yang dimuat naik oleh ahli keluarga di media sosial.
BACA LAGI : Tragedi Zara Qairina, ibu dakwa anak dibuli, KPM beri jaminan siasatan menyeluruh
Kematian remaja perempuan itu mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan masyarakat yang menuntut siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil bagi menangani isu buli yang dilihat semakin membarah di institusi pendidikan.
Bagi seorang pengguna Facebook Zahiruddin Juatin, insiden itu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mangsa, malah turut mengganggu emosi pelajar lain di sekolah.
Perkara itu didedahkan Zahiruddin yang berkongsi situasi cemas yang dialami pelajar selepas insiden tersebut tersebar termasuk satu tangkap layar perbualan WhatsApp dalam alangan pelajar.
Beliau juga yang seorang guru turut mendakwa ada dalam kalangan pelajar menangis, panik dan mendesak untuk pulang ke rumah kerana tidak tahan dengan suasana yang menakutkan.
"Nampak bagaimana satu kes buli memberi kejutan besar kepada seluruh komuniti pelajar.
"Ramai ketakutan, rasa tidak selamat, dan trauma mula dirasai bukan hanya oleh mangsa, tetapi juga rakan sekelas dan penghuni asrama,” katanya dalam satu perkongsian pada Jumaat.
Ujarnya lagi, jika ketakutan seperti itu tidak diurus segera, ia boleh menimbulkan ketidakpercayaan terhadap pihak sekolah dan sistem pendidikan, sekali gus menyukarkan pelajar untuk berkongsi masalah.
"Mereka mungkin akan menyendiri, berasa terasing, atau lebih membimbangkan, mengalami gangguan kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan melampau (anxiety) dan fobia untuk hadir ke sekolah," ujarnya lagi.
Zahiruddin turut menyifatkan buli sebagai 'wabak senyap' yang mampu merosakkan keseluruhan iklim pendidikan sekiranya tidak ditangani secara tegas, profesional dan penuh empati oleh pihak berkaitan.
“Jangan tunggu sehingga semua pelajar ‘minta balik’ baru hendak bertindak. Cukuplah ada yang kehilangan nyawa, jangan pula yang lain kehilangan harapan,” tegasnya.
Zahiruddin turut menggesa semua pihak agar mengambil langkah segera dan serius dalam melindungi pelajar seperti menjaga anak sendiri, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka di institusi pendidikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram