Buluh jadi penghadang jalan: Mudah cuma kurang praktikal — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Penanaman buluh madu di tebing Sungai Korok, Alor Setar sebagai langkah mengelakkan kenderaan terbabas ke dalam sungai dianggap tidak praktikal. — Gambar/Facebook Max Najimy

CADANGAN kerajaan negeri Kedah menanam buluh madu di tebing Sungai Korok, Alor Setar sebagai langkah mengelakkan kenderaan terbabas ke dalam sungai dianggap tidak praktikal dan boleh mendatangkan risiko tambahan yang lain.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, secara asasnya buluh bukan bahan yang sesuai untuk menjadi penghadang kenderaan yang hilang kawalan, lebih-lebih lagi melibatkan kenderaan berat seperti lori atau bas.

"Buluh tidak cukup kuat untuk menyerap impak pelanggaran. Tambahan pula, batang buluh yang patah boleh menjadi tajam dan membahayakan penumpang. Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan risiko kecederaan serius atau kematian dalam kemalangan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI : Buluh madu alternatif penghadang mesra alam di Sungai Korok, sumber rezeki seperti di Felcra Seberang Perak

BACA LAGI : Kepercayaan' ibu bapa antara punca anak guna helmet kualiti rendah — Pakar

 

Menurutnya, selain isu kekuatan, buluh juga memerlukan masa lama untuk membesar dan menjadi halangan yang berkesan, serta perlu diselenggara secara konsisten.

Prof Madya Dr Law Teik Hua

Alternatif lebih selamat dan praktikal

Dr Law menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan alternatif lain yang lebih praktikal dan mampu dilaksanakan segera seperti pemasangan papan tanda reflektif serta lampu jalan berkuasa solar di kawasan berisiko tinggi.

"Langkah ini bukan sahaja lebih murah, malah terbukti berkesan memberi amaran kepada pemandu, terutama ketika cuaca buruk atau waktu malam.

Garisan jalan yang jelas dan jalantanpa (rumble strips) juga boleh membantu menyedarkan pemandu yang mungkin hilang tumpuan,” katanya.

Tambah beliau, pemasangan bonggol perlahan serta kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya juga wajar dilaksanakan secara berterusan bagi mendidik pengguna jalan raya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan cadangan menanam buluh madu di sepanjang tebing terusan Sungai Korok susulan insiden tragik yang meragut enam nyawa sekeluarga apabila kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai tersebut.

Sanusi mencadangkan untuk menanam buluh madu di tebing sungai sebagai langkah keselamatan jalan raya susulan tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Alor Setar.

Menurutnya, selain mesra alam, buluh madu dilihat sebagai kaedah lebih menjimatkan kos berbanding pemasangan pagar penghadang konkrit.

“Kalau nak pasang pagar penghadang sejauh satu kilometer (km), kosnya boleh cecah RM400,000. Kalau kita nak pasang sepanjang 15km, kosnya mencecah RM6 juta.

“Buluh pula lebih murah, cuma ambil masa sedikit untuk matang. Kalau tunggu pagar tapi tak cukup duit, lambat lagi nak buat atau mungkin tak jadi langsung,” katanya ketika mengulas langkah kerajaan negeri mengurangkan risiko kemalangan di kawasan itu.

Sanusi turut mencadangkan agar lampu jalan dipasang dan tebing terusan ditinggikan bagi menambah keselamatan kepada pengguna jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram