
DALAM dunia pekerjaan yang sering meminggirkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya individu menghidap Sindrom Down, sebuah kafe kecil di Jakarta Selatan, Indonesia membuktikan sebaliknya apabila tampil memberi sinar harapan kepada golongan istimewa ini.
Kafe Kopi Kamu yang terletak di Jalan Wijaya I, Petogogan, Kebayoran Baru, menjadi perhatian ramai apabila kesemua baristanya terdiri daripada individu yang menghidap Sindrom Down.
Langkah berani itu bukan sahaja membuka ruang pekerjaan kepada mereka yang sering dipinggirkan, malah memberi inspirasi kepada masyarakat mengenai makna sebenar inklusiviti dan kepercayaan terhadap keupayaan insan istimewa.
BACA LAGI: [VIDEO] Terapkan model Malaysia, utamakan budaya dan nilai kekeluargaan di SAVe — Anfaal Saari
BACA LAGI: NASOM minta PDRM pertimbang tarik balik saman bapa budak autisme biar anak pandu kereta sendiri
Menurut pemiliknya, Rocky J Pesik, ilham untuk menubuhkan kafe inklusif ini tercetus selepas beliau berkenalan dengan anggota Persatuan Orang Tua Anak dengan Down Syndrome (POTADS) yang memiliki kemahiran dalam bidang penyediaan kopi.
“Tersentuh dengan semangat dan kecekapan mereka, saya tekad membuka peluang pekerjaan buat mereka. Mereka juga berhak diberi ruang dan pengiktirafan,” katanya.
Kafe Kopi Kamu yang terletak di Jalan Wijaya I, Petogogan, Kebayoran Baru, menjadi perhatian ramai apabila kesemua baristanya terdiri daripada individu yang menghidap Sindrom Down. pic.twitter.com/6jBLWa1kFE
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) July 18, 2025
Rocky mula mengambil golongan OKU sebagai pekerja pada awal 2023, dan barista-barista istimewa itu memulakan tugasan rasmi mereka pada Disember tahun yang sama.
Kisah menyentuh hati ini turut tular di media sosial, khususnya menerusi laman Instagram @kopikamu_official yang kerap memaparkan gelagat barista Sindrom Down melayan pelanggan dengan mesra dan penuh dedikasi.
Malah, ramai pelanggan dari dalam dan luar negara sanggup datang semata-mata untuk menikmati kopi hasil air tangan mereka, selain tersentuh hati dengan ucapan terima kasih barista comel terbabit kepada semua pelanggan Kopi Kamu.
Tindakan berani pemilik Kopi Kamu mendapat pujian ramai warganet yang rata-rata melahirkan rasa kagum terhadap usaha murni membuka peluang kepada golongan OKU yang sering dipandang rendah dalam sektor pekerjaan.
Seorang pengguna media sosial, Williambronov, turut meluahkan rasa terharu dengan inisiatif tersebut.
“Ini menyentuh hati saya. Saya akui bahawa saya faham keinginan untuk menjadi produktif dan menyumbang, dan saya gembira melihat golongan hebat ini turut disertakan dalam usaha itu,” katanya.
Seorang lagi warga maya, Alex Devour turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik kafe.
“Terima kasih kepada pemilik Kopi Kamu kerana membuka peluang kepada golongan istimewa. Anda telah mengubah persepsi ramai terhadap mereka,” tulisnya.
Untuk rekod, Kopi Kamu mempunyai tiga cawangan di Indonesia iaitu di Bogor, Bekasi dan Yogyakarta. Namun, barista istimewa ini hanya ditempatkan di cawangan utama di Jakarta Selatan.
Inisiatif sebegini wajar dijadikan contoh agar lebih banyak syarikat tampil mewujudkan peluang pekerjaan yang inklusif dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram