
"KAPAL Barcelona terbakar, Barcelona 5 terbakar. Semua terjun selamatkan diri!"
Itu jeritan panik seorang penumpang yang sempat membuat siaran langsung di media sosial ketika kapal penumpang, Kapal Motor (KM) Barcelona 5 terbakar di perairan Pulau Talise, Minahasa Utara dekat Sulawesi, Indonesia pada Ahad.
Rakaman detik cemas yang kini tular itu memperlihatkan api marak dari bahagian kapal, sementara penumpang bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri.
Malah ada yang nekad terjun ke laut dan berenang menjauh dengan hanya menggunakan jaket keselamatan.
Detik cemas itu bagai mimpi ngeri buat lebih 200 penumpang yang ketika itu dalam perjalanan merentasi perairan Sulawesi Utara.
Lebih mendebarkan lagi, menerusi rakaman secara langsung yang dirakam oleh seorang penumpang Abdul Rahman Agu itu turut memaparkan dia bersama anak perempuannya yang masih kecil.
Namun mereka bernasib baik diselamatkan oleh nelayan yang memberi bantuan awal kepada mereka dan penumpang yang lain
Sementara itu, menurut Setiausaha Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sulut, Jerry Harmonsina, pihaknya menerima laporan awal bahawa kebakaran bermula berhampiran perairan Pulau Talise, namun punca sebenar belum dikenal pasti.
“Maklumat penuh mengenai waktu kapal mula terbakar dan jumlah sebenar mangsa masih dalam siasatan,” katanya kepada detikcom.
Operasi menyelamat dijalankan secara besar-besaran melibatkan Tentera Laut Indonesia, Basarnas, Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), serta bantuan luar biasa daripada nelayan tempatan yang turut menyelamatkan mangsa menggunakan bot kecil.
"Kami sedang fokus menyelamatkan seberapa ramai mangsa yang mungkin. Keutamaan kini adalah memastikan semua selamat," jelas Jerry.
Setakat ini, jumlah mangsa belum disahkan, namun operasi menyelamat dan pencarian masih diteruskan tanpa henti.
Pasukan penyelamat turut berdepan cabaran ombak besar dan jarak penglihatan yang terhad.
Sementara itu, pengguna media sosial turut membanjiri ruang komen dengan doa dan harapan agar semua mangsa terselamat, menyifatkan tragedi itu sebagai adegan filem ngeri yang menjadi nyata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram