Pemantul cahaya lebih efektif berbanding buluh, elak tragedi Sungai Korok-pempengaruh Ija berulang — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 17 Jul 2025

Dua insiden kenderaan terjunam ke dalam sungai di Johor (kiri) dan Kedah (kanan) mencetuskan kebimbangan ramai pihak. — Gambar Media Sosial

DUA insiden kenderaan terjunam ke dalam sungai di Kedah dan Johor baru-baru ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak yang mendesak agar aspek keselamatan jalan raya di kawasan luar bandar diberi perhatian serius bagi mengelakkan tragedi berulang.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, enam sekeluarga maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi bersama empat anak mereka terbabas dan tenggelam ke dalam terusan Sungai Korok, Kedah.

Sementara itu, pada Selasa lalu, seorang lelaki, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Isnin. Difahamkan, beliau memaklumkan kepada isterinya ingin ke bengkel rakannya di Parit Jawa, Muar, Johor.

BACA LAGI: Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar

BACA LAGI: Buluh jadi penghadang jalan: Mudah cuma kurang praktikal — Pakar

Bagaimanapun, kenderaan yang dinaiki mangsa ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, namun usaha mengesan mangsa yang dikenali sebagai Ija masih menemui jalan buntu setakat Khamis.

Prof Madya Dr Law Teik Hua

Mengulas perkembangan dua kejadian itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua menegaskan insiden seperti ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil.

Tegasnya, ia memerlukan campur tangan segera, terutamanya di kawasan luar bandar yang sering terlepas pandang dari segi pemantauan serta penyelenggaraan jalan raya.

“Apa yang kita lihat sekarang, kawasan luar bandar tidak diberikan perhatian secukupnya. Polisi keselamatan biasanya lebih tertumpu kepada jalan raya di kawasan bandar,” katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau, banyak jalan luar bandar tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan asas seperti lampu jalan, pagar penghadang atau penanda pantulan cahaya.

Sebagai langkah segera dan kos rendah, Dr Law mencadangkan penggunaan bahan pemantul cahaya (reflective) seperti pelekat pantul cahaya pada penghadang jalan sebagai amaran awal kepada pemandu, terutamanya pada waktu malam.

“Bila terkena cahaya lampu kenderaan, pelekat ini boleh memantulkan cahaya dan memberi isyarat jelas bahawa kawasan itu berisiko,” jelasnya.

Menurut beliau, pemasangan lampu jalan sememangnya penting, namun pelaksanaannya tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur elektrik di kawasan tersebut.

“Jika tiada bekalan elektrik berdekatan, kos untuk menarik sumber kuasa boleh menjadi sangat mahal. Sebab itu bahan pantul cahaya lebih praktikal,” ujarnya lagi.

 

 

Tanam pokok bukan penyelesaian segera

Mengulas cadangan menanam pokok terutamanya buluh sebagai penghadang semula jadi, Dr Law sekali lagi berpandangan ia bukanlah penyelesaian jangka pendek kerana mengambil masa yang lama untuk pokok membesar dan tidak semua jenis pokok sesuai dijadikan pelindung hentakan.

“Ada pokok terlalu keras, kalau dilanggar impaknya boleh membunuh. Kalau pokok terlalu lembut, ia pula tidak mampu menghentikan kenderaan,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyarankan pemasangan penghadang fizikal seperti konkrit atau besi (guardrail) khususnya di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

“Ia lebih kukuh dan jelas memberi isyarat fizikal kepada pemandu. Meskipun memerlukan kos, langkah ini lebih selamat untuk jangka panjang,” katanya.

Manfaat teknologi sedia ada

Menjawab persoalan sama ada sistem GPS terbina dalam pada semua kenderaan, Dr Law berpendapat pendekatan yang lebih praktikal ialah memanfaatkan teknologi sedia ada seperti Google Maps.

“Kita boleh tambah data kawasan berisiko ke dalam aplikasi tersebut.

"Bila pengguna menghampiri zon bahaya, mereka dapat amaran automatik. Ini lebih menjimatkan dan praktikal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa segala cadangan penambahbaikan keselamatan tidak harus dilengahkan.

“Apa jua langkah yang ingin diambil, mesti dilakukan segera sebelum lebih banyak nyawa melayang akibat kelewatan bertindak,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram