Kehadiran bintang muda Pahang, kunci Terengganu 'bebaskan' potensi sebenar Nurillo


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Skuad Sang Penyu menagih khidmat Nurillo untuk mencipta serangan buat pasukan. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC meneruskan usaha memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain tengah muda, Saiful Jamaludin dari Sri Pahang FC selepas kelab itu tidak lagi beraksi musim depan.

Perpindahan tersebut menyaksikan skuad Sang Penyu diperkuatkan seorang lagi rekrut dari kelab jiran mereka itu selepas turut mengumumkan kehadiran Baqiuddin Shamsudin pada Isnin.

Bagaimanapun, kejayaan mengikat Saiful atau turut mesra disapa Epul lebih menarik tumpuan peminat kerana pemain tersebut memiliki potensi cerah kerana baru berusia 23 tahun.

BACA LAGI: Andai sah dibubar, 3 bintang Tok Gajah wajib disambar musim depan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibarat wiper', Fandi Ahmad puas hati saksikan sumbangan permata baharu Tok Gajah

Saiful menjadi rekrut kedua skuad Sang Penyu bagi jendela perpindahan kali ini. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, sepanjang hampir tiga musim beraksi buat skuad utama Tok Gajah, dia tidak kelihatan kekok atau bergelut untuk merebut tempat daripada bintang lebih senior dan berpengalaman.

Ini kerana pemain muda terbabit kerap mematahkan serangan lawan, namun bersikap tenang dalam melakukan bentesan bagi memastikan pasukannya tidak mengalami kerugian daripada setiap tindakannya.

Kehadirannya ke dalam Terengganu FC sudah tentu membawa dimensi baharu ke barisan tengah pasukan yang memerlukan gandingan serasi bersama Akram Mahinan di bahagian tersebut.

"Bakal digandingkan dengan Nurillo (Tukhtasinov) atau tidak pun, beraksi di sebelah Akram sebagai pivot pasukan sementara Nurillo beraksi sebagai pemain tengah menyerang," kata Azlan Mira.

Gandingan Akram dan Saiful akan mengukuhkan lagi barisan pertahanan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Selamat datang dan saya doakan yang terbaik. Yang boleh bermain dua atau tiga posisi dan masih muda, memang berbaloi lah. Gaya permainan pula lain sedikit berbanding Akram, pasti menjadi pilihan terbaik," kata Izhan Azwar.

Musim lalu, trio di posisi tengah skuad Sang Penyu menyaksikan gandingan Akram, Manuel Ott dan Nurillo dengan Marin Pilj kadang-kala dimasukkan bagi memberi kelainan.

Bagaimanapun, perubahan taktikal daripada Badrul Afzan Razali yang hadir menggantikan Tomislav Steinbruckner menyaksikan pasukan itu goyah, lebih-lebih lagi ketika situasi serangan balas.

Jadi, sekiranya Saiful dapat berada dalam kesebelasan utama, kebebasan menyeluruh dapat diberikan kepada Nurillo dalam merencana serangan buat pasukan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram