
BELUM sempat membuat penampilan rasmi bersama kelab baharunya, nama Dion Cools sudah pun bergema di bumi Jepun apabila para penyokong Cerezo Osaka melaungkan sorakan khas buat pertahanan sensasi Harimau Malaya itu.
Cools, yang baru diumumkan sebagai pemain import baharu kelab dari saingan J1 League, menerima sambutan luar biasa sebaik tiba di Jepun.
Dalam satu hantaran video yang dikongsikan Harimau Abroad di laman X, sekumpulan penyokong kelihatan menyanyikan chant nama 'Dion Cools' berulang kali ketika perlawanan menentang Tokyo Verdy pada Sabtu.
BACA LAGI: Dua kali bertemu di Asia musim lalu, Selangor umum jeneral Thai rekrut pertama musim 2025/26
BACA LAGI: Pengguguran pemain import keputusan tepat demi prestasi Sang Penyu – Legenda Terengganu
Walaupun masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama, kehadiran Cools di bangku simpanan dalam perlawanan tersebut turut mencuri perhatian.
Aksi yang berlangsung di Stadium Yodoko Sakura, Jepun itu menyaksikan Cerezo Osaka meraih kemenangan 2-1 hasil jaringan Rafael Ratao dan Thiago Andrade.
Sambutan hangat yang diterima Cools menjadi bukti reputasinya sebagai pemain bertaraf antarabangsa masih utuh, apatah lagi beliau memiliki pengalaman luas di Eropah bersama kelab seperti Zulte Waregem (Belgium), Midtjylland (Denmark) serta pernah beraksi di Liga Thailand bersama Buriram United.
Penyertaan pemain berusia 29 tahun itu dalam J1 League dilihat sebagai satu pencapaian besar buat bola sepak Malaysia, menjadikannya antara pemain tempatan yang berjaya menembusi liga profesional paling berprestij di Asia.
Meskipun masih belum diturunkan secara rasmi, sorakan padu penyokong Cerezo Osaka jelas menjadi suntikan semangat buat Cools, yang dijangka membuat penampilan sulung dalam masa terdekat.
Kehadirannya bukan sahaja dinantikan oleh peminat di Jepun, malah turut mencuri tumpuan penyokong tanah air yang ingin melihat wakil Malaysia bersinar di pentas bola sepak Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram