
PERLAWANAN akhir Piala Malaysia 2024 antara Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka menjadi aksi terakhir bagi pasukan Sri Pahang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Spekulasi mengenai masa depan Sri Pahang semakin hangat diperkatakan selepas pendedahan mengejut daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mendakwa pasukan kendalian Fandi Ahmad itu dikhabarkan akan 'terkubur' musim depan.
Lebih menguatkan lagi khabar angin tersebut, Sri Pahang tidak mengambil pendekatan untuk menafikan dakwaan tersebut.
BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM
BACA LAGI: Senasib Jimmy Raymond, 3 wira Piala AFF terlepas bertemu Nepal
Sebaliknya, pihak pengurusan pasukan memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Pendekatan tersebut jelas berbeza dengan Kedah Darul Aman FC, yang menerusi pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menafikan dakwaan mengenai masa depan kelab, sekali gus membuktikan bahawa Sang Kenari terus berusaha untuk kekal bersaing di saingan Liga Malaysia.
Sekiranya benar Tok Gajah menarik diri, terdapat tiga pemain yang berpotensi dipertimbangkan oleh beberapa kelab Liga Super yang berminat untuk menggunakan khidmat mereka.
1. Saiful Jamaludin
Pemain tengah pertahanan Tok Gajah, Saiful Jamaludin merupakan antara tonggak utama yang berpotensi menarik perhatian kelab-kelab Liga Super tanah air terutamanya Selangor FC.
Dengan ketinggian 1.84 meter, Saiful memberikan kestabilan dan kekuatan di barisan pertahanan Sri Pahang menjadikannya pilihan menarik untuk pasukan yang mencari pengukuhan di posisi tengah pertahanan.
Sepanjang musim ini, pemain muda itu sudah tampil dalam 20 perlawanan Liga M bersama Tok Gajah, menunjukkan ketahanan dan konsistensi yang tinggi.
Saiful Jamaluddin (tengah) ketika cuba mematahkan gerakan Bersgon da Silva.
Prestasi cemerlangnya dalam membantu pasukan mengekalkan rekod pertahanan yang kukuh, menjadikannya pemain yang sangat berharga.
Selain itu, pengalamannya bermain di peringkat tertinggi Liga M turut dijangka boleh memberi kelebihan kepada Gergasi Merah yang pastinya mahu menggunakan khidmat pemain muda.
Dengan bakat dan potensi yang dimilikinya, Saiful dijangka boleh mencuri hati pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi yang memerlukan pemain berpengalaman dan mampu memberikan sumbangan besar kepada pasukan.
2. Nor Azam Azih
Pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih merupakan antara pemain yang boleh dipertimbangkan oleh kelab-kelab lain dalam Liga Super seperti Penang FC.
Sebagai tonggak utama di bahagian tengah, Azam Azih memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap perlawanan dengan kebolehannya untuk mengawal dan menggerakkan permainan dari tengah padang.
Ketinggiannya yang 1.68 meter tidak menghalangnya untuk menjadi seorang pemain yang berdaya saing, malah ketepatan dan kemahirannya dalam mengagihkan bola dan mencipta peluang serangan menjadikannya aset berharga kepada pasukan.
Penang FC antara pasukan yang sesuai untuk mendapatkan khidmat Azam Azih.
Azam Azih mencatatkan 23 perlawanan bersama Tok Gajah, membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain paling konsisten dan berpengaruh.
Keupayaannya untuk mengimbangi bahagian tengah pasukan dengan skil penguasaan bola amat diperlukan oleh Harimau Kumbang ketika ini.
Kehadirannya di bahagian tengah padang juga mampu memberi sokongan kuat kepada barisan serangan pasukan dan akan menampilkan persembahan cemerlang sekiranya digandingkan dengan Syamer Kutty Abba.
3. Adam Nor Azlin
Bek tengah Tok Gajah, Adam Nor Azlin adalah salah satu pemain yang patut segera disambar oleh Sabah FC.
Meskipun beraksi di posisi pertahanan, ketajaman dan keupayaan serangannya tidak boleh dipandang remeh kerana berjaya membuktikan bahawa dia bukan sekadar seorang pertahanan yang kukuh, tetapi juga mampu memberikan sumbangan besar dalam serangan.
Dengan ketinggian 1.72 meter, Adam Nor bukan sahaja memiliki kelebihan fizikal untuk mengawal zon pertahanan, tetapi dia juga mampu mencipta ancaman di hadapan gol.
Adam Nor Azlin (kanan) mengagalkan serangan daripada penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah.
Dalam saingan Liga Super musim ini, dia berjaya menjaringkan tiga gol, satu pencapaian yang luar biasa untuk seorang bek tengah.
Adam Nor Azlin turut mencatatkan 17 penampilan dalam liga, membuktikan konsistensinya dalam membantu pasukan mengekalkan pertahanan yang kukuh, sekali gus memberikan impak dalam setiap perlawanan.
Dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan, Adam Nor Azlin berpotensi untuk menjadi salah satu bek Sang Badak yang kini dilihat memerlukan pemain serba boleh dan berkemahiran tinggi dalam jentera pertahanan bagi menggantikan Haris Stamboulidis yang kurang cemerlang di posisi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram