
HARAPAN skuad hoki negara untuk melakar kemenangan pertama dalam Piala Hoki Negara-Negara 2025 tidak kesampaian selepas mengalami kekalahan 3-4 kepada New Zealand dalam pertemuan di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur (KL) pada Isnin.
Perlawanan itu sepatutnya menghadiahkan tiga mata penuh buat kem negara selepas mereka terlebih dahulu berada di depan dengan kelebihan tiga jaringan sebelum ia disia-siakan.
Ini selepas mereka melepaskan dua gol dalam tempoh singkat tidak lama selepas kehilangan Fitri Saari yang digantung lima minit setelah dilayangkan kad kuning dengan ketiadaannya jelas 'membunuh' momentum skuad hoki negara.
BACA LAGI: Speedy Tigers mara ke suku akhir Piala Dunia 2023
BACA LAGI: Yakin perancangan 'coach', Speedy Tigers atur strategi benam Sepanyol di pentas Piala Dunia
Sarjit mengakui ketiadaan Fitri pada penghujung permainan menyukarkan hasrat skuad hoki negara. — MHC
Perkara itu turut diakui pengendalinya, Sarjit Singh yang menganggap kesilapan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan memandangkan pemain itu cukup berpengalaman selepas bertahun-tahun beraksi di dalam gelanggang.
Tetapi, bagi penyokong pula, kegagalan meraih kemenangan sebenarnya berpunca daripada sikap keseluruhan pasukan yang terlalu mudah berasa selesa dengan kelebihan dimiliki.
Bagi mereka, sikap sedemikian perlu diatasi memandangkan ia boleh menjadi punca kegagalan pasukan hoki negara mencetak lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
"Penyakit yang masih tiada ubatnya lagi. Sejak dahulu, perkara yang sama sering berulang. Apabila selesa mendahului, maka datanglah sikap sama. Sering lalai dan melakukan kesilapan tidak sepatutnya," kata Sarizal Saad.
Impian Malaysia layak ke separuh akhir semakin tipis selepas kini hanya berada di tangga ketiga kumpulan. — Facebook/MHC
"Mentaliti kita lemah, New Zealand bukannya hebat mana pun, tetapi kita sendiri cuai di peringkat akhir perlawanan," kata Osman Hamid.
"Kurangnya kesungguhan, kurangnya latihan berintensiti tinggi. Pasukan Malaysia benar-benar kekurangan individu hebat dalam sukan, sebab itu kita sangat lambat berkembang dengan baik," kata Mohd Zaidi.
Selepas dua perlawanan Kumpulan B, skuad hoki negara masih belum meraih sebarang kemenangan selepas hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan pembukaan menentang 3-3.
Jika pasukan kebangsaan bercita-cita untuk meloloskan diri ke peringkat separuh akhir, mereka perlu mencatatkan kemenangan ke atas Jepun sambil mengharapkan Pakistan tewas kepada New Zealand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram