
YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) meluahkan rasa terkejut dan sedih susulan berita tular mengenai keadaan bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Asmawi Zaidi, yang didakwa mengalami masalah kesihatan mental seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.
Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pihak mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai situasi yang dihadapi oleh Asmawi dan berasa kesal kerana perkara tersebut ditularkan secara umum, yang dilihat boleh menjejaskan sensitiviti peribadinya serta keluarganya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pilu lihat bekas pemain hoki negara kurang siuman, pihak berwajib diminta bantu segera
BACA LAGI: [VIDEO] Tetap bangga, 4 pencapaian hebat skuad hoki negara walaupun kemarau 24 tahun ke Olimpik
“Apa yang pasti, kami tidak dimaklumkan mengenai keadaan dia sebelum ini. Kami amat bersedih dengan nasib yang menimpa dia dan tidak wajar untuk isu sebegini disebarkan tanpa pertimbangan terhadap perasaan keluarganya.
"Apa yang dapat dipastikan bahawa Asmawi bukannya ahli Yakeb dan kelayakannya juga tidak melayakkan beliau menjadi ahli Yakeb. Namun begitu, kita bersyukur kerana Persatuan Hoki Terengganu (PHT) tampil ke hadapan bersedia menghulurkan bantuan bagi memulihkan semangat dan keadaannya.
“Sudah tentu kesediaan PHT ini perlu menjadi contoh tauladan kepada persatuan-persatuan sukan yang lain baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Sebaik mungkin sekurang2nya mengambil tahu dan maklum situasi semasa atlit mereka samaada yang masih aktif mahupun yang telah bersara.
“Sekurang-kurangnya sebarang komplikasi menimpa atlit ini dapat disalurkan kepada pelbagai agensi yang berkaitan yang mungkin boleh menawarkan bantuan sebelum ianya menjadi lebih parah sepertimana berlaku kepada Asmawi.
Tambahnya, meskipun di luar kemampuan Yakeb secara langsung namun Yakeb kami akan menghubungi rakan-rakan seperti PHT, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Hoki Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak keluarga bagi menyelaras sokongan yang diperlukan.
Dalam pada itu, Yakeb turut menyeru agar masyarakat lebih berhemah dalam berkongsi maklumat membabitkan bekas atlet, terutamanya apabila melibatkan isu kesihatan mental atau peribadi, bagi menjaga maruah serta sensitiviti mereka dan keluarga.
"Yakeb berharap agar sebarang komplikasi yang menimpa bekas atlet tidak ditularkan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia harus disalurkan kepada badan atau agensi berkaitan terlebih dahulu bagi mendapatkan bantuan dan kepakaran sewajarnya," tegas kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan siasatan menyeluruh terlebih dahulu bagi mengetahui punca sebenar insiden melibatkan Asmawi sebelum menghulurkan bantuan kepadanya.
Menterinya, Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya mengambil maklum bahawa PHT sudah tampil untuk memberikan bantuan kepada Asmawi dan akan memberi ruang kepada persatuan berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terlebih dahulu.
Mengulas lanjut mengenai situasi yang menimpa Asmawi, beliau menegaskan bahawa punca sebenar masih belum diketahui, dan mungkin melibatkan faktor peribadi atau keluarga. Justeru, siasatan menyeluruh amat penting.
“Tetapi kita tak tahu apa yang telah berlaku mungkin adalah masalah keluarga kita tak pasti. jadi biar kita lakukan siasatan dulu dan saya yakin semua pihak akan bantu rakyat Malaysia.
“Khasnya KBS kita tak nak tengok atlet kita sengsara terutamanya ada kesihatan mental kita akan bantu bersama Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Piala Asia Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) di sebuah hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan menjaga kebajikan atlet bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat negeri, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan kerajaan negeri.
“Hasrat saya untuk semua atlet bukan sahaja untuk peringkat kebangsaan tetapi untuk peringkat negeri, saya nak kebajikan mereka dijaga tetapi untuk persatuan seperti Yakeb mereka nak jaga atlet kebangsaan. Kemudian kita ada peranan negeri juga untuk jaga atlet-atlet masing-masing.
“Tetapi hasrat saya untuk semua atlet yang sekarang, kalau boleh saya nak mereka teruskan pelajaran, bukan sahaja bersukan. Ada ramai yang kata nak bersukan saja, saya tak nak teruskan pendidikan tinggi, kita nak ada jaminan masa hadapan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram