
KETUA jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi mempertahankan keputusan untuk menurunkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam perlawanan kumpulan menentang Jepun, walaupun menerima kritikan bahawa keputusan itu mungkin telah menjejaskan kempen Piala Sudirman Malaysia.
Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan China di Xiamen pada Jumaat, namun ada penyokong yang merasakan kekalahan itu telah bermula sehari sebelumnya apabila pasukan gagal muncul juara Kumpulan C.
Malaysia mempunyai peluang keemasan untuk menewaskan Jepun dan mengelak pertembungan dengan kuasa besar China, tetapi mensia-siakannya selepas tewas 2-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan.
BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia
BACA LAGI: Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran
Pemilihan Herry menjadi perhatian apabila pasangan nombor dua dunia iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak diturunkan walaupun baru-baru ini berjaya menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam Kejohanan Asia di Ningbo.
Sebaliknya, barisan kejurulatihan memilih Aaron-Wooi Yik, yang mempunyai rekod kurang memberangsangkan menentang bekas juara dunia itu dengan hanya dua kemenangan daripada sepuluh pertemuan.
Walaupun menguasai set pertama dan dilihat hampir menamatkan set kedua dengan kemenangan, lawan bangkit semula menyebabkan kekalahan menyayat hati 2-3 kepada Malaysia, sekaligus menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua.
Namun, pengendali dari Indonesia berkenaan percaya pasangan utamanya tetap menunjukkan prestasi yang baik dan hanya tidak bernasib baik.
“Saya sejujurnya berharap mereka dapat menyumbang satu mata, tetapi Aaron dan Wooi Yik agak tidak bernasib baik dalam perlawanan itu dan melakukan beberapa kesilapan.
“Tetapi secara keseluruhan, prestasi mereka boleh dikatakan baik. Mungkin rezeki tidak menyebelahi kita,” kata Herry.
Jepun yang muncul juara kumpulan kemudian menewaskan Taiwan 3-1 di peringkat suku akhir dan akan menentang China di separuh akhir.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi.
Herry turut menekankan keperluan untuk Wooi Yik meningkatkan tahap kecergasan fizikalnya agar dapat menampung tuntutan kejohanan bertaraf tinggi.
“Untuk Wooi Yik, saya rasa masih ada ruang untuk peningkatan dari segi fizikal. Dia perlu lebih banyak masa di gimnasium untuk membina kekuatan dan ketahanan.
“Prestasinya sekarang sudah baik, tetapi untuk jadi lebih baik, langkah itu perlu diambil. Dia memang sudah kuat di bahagian jaring. Apa yang perlu diasah sekarang ialah pukulan overhead-nya,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram