
TULAR di media sosial baru-baru ini rakaman video memaparkan seorang lelaki yang berjalan berkaki ayam sambil meracau dan berkelakuan seperti orang kurang siuman, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Video tersebut dilihat dirakam oleh warganet baru-baru ini, dan menunjukkan individu berkenaan dalam keadaan tidak terurus dan terabai hingga menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatannya.
Lebih mengejutkan, beberapa pengguna media sosial mendakwa lelaki terbabit merupakan bekas pemain hoki remaja negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa suatu ketika dahulu.
BACA LAGI: Dugaan Jumaat penuh barakah, 2 'ubi muda' TFC terlibat nahas jalan raya, seorang masuk ICU
Sangkaan warganet rupanya tepat apabila lelaki tersebut sememangnya bekas pemain hoki negara. Memetik laporan Harian Metro, dia merupakan Mohamad Asmawi Zaidi yang satu ketika dulu pernah menyarung jersi skuad Bawah 16 Tahun negara.
Salah seorang bekas rakan sepasukannya mengesahkan perkara tersebut, selain memaklumkan pernah berjuang bersama Mohamad Asmawi dalam pasukan Malaysia kategori bawah 16 tahun sehingga ke Jerman.
"Memang benar, kelibat lelaki kurang siuman itu adalah Mohamad Asmawi iaitu bekas rakan pasukan yang pernah bersama-sama beraksi untuk Terengganu ketika Sukan Malaysia (Sukma) dan rakan sekolah ketika menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar yang kini dikenali sebagai Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI).
"Sayu hati melihat, Mawi (Asmawi) begitu. Dia dulu seorang yang ceria dan seorang pemain hoki berkaliber. Pernah juga menyarung jersi negara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Remaja Dunia di Johor Bahru pada 2009," memetik laporan Harian Metro.
Melihat keadaan bekas atlet negara itu, warganet menyeru agar pihak berwajib segera tampil menyiasat dan membantu lelaki tersebut agar kembali sembuh dan kembali hidup seperti sedia kala.
"Pilu rasa hati baca berita mengenai pemain hoki remaja kini kurang siuman, harap akan dapat bantuan," kata warganet, Fuziah Yusoff.
"Mohon sesiapa yang mengenali ambil inisiatif untuk bawa dia pergi berubat. Bukan berubat kampung tapi pergi hospital pakar jiwa. Maaf cakap, dengan ubat sahaja mampu merawat dan dengan izin ALLAH," komen warganet, Zira Ziejoera.
"Kalau atlet dah jadi begini, persatuan-persatuan sukan seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) tidak dapat bantu?," tanya warganet, Shasha Sha.
Asmawi (dalam bulatan) ketika aktif bermain hoki.
Majoriti sudah menghubungi pihak Yakeb namun setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkenaan mengenai status individu berkenaan atau tindakan susulan yang akan diambil.
Untuk rekod, Asmawi yang kini sudah berusia 36 tahun memilih bersara awal apabila meninggalkan kerjaya sebagai pemain hoki dan memilih untuk pulang ke kampung ketika usianya sekitar 25 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram