Elak tekanan kepada atlet, KBS tetapkan sasaran Sukan SEA tak ikut warna pingat


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Akuatik-terjun antara sukan yang dijangka menyumbang banyak pingat kepada kontinjen negara.

PENETAPAN sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 adalah mengikut jumlah pingat keseluruhan dan tidak mengikut warna pingat, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, keputusan itu juga berdasarkan saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU).

Menurutnya, pendekatan itu juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.

BACA LAGI: [VIDEO] Sakit hati Piala Malaysia belum berakhir, fans Sabah bongkar 2 insiden kontroversi aksi bertemu Tok Gajah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su

"Menetapkan sasaran pingat emas sahaja boleh memberi tekanan berlebihan kepada atlet untuk mencapai prestasi terbaik mereka dalam temasya sukan antarabangsa," katanya.

Hannah berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai sasaran Malaysia dalam Sukan SEA 2025 dan tahap kesiapsiagaan KBS susulan perubahan yang dilakukan oleh Thailand.

Sebelum ini, Thailand telah melakukan rombakan luar jangkaan dengan menambah 15 acara dan menggugurkan 10 acara lain.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 14.06.07

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, antara sukan yang dijangka menyumbang banyak pingat kepada kontinjen negara termasuk akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin boling.

"Setakat ini, seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan, serta 261 atlet pelapis kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman," katanya.

Hannah turut menjelaskan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN), bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Institut Sukan Negara (ISN) dan jurulatih telah merancang pelan periodisasi bagi tahun 2025 pada 13 November 2024.

Program tersebut akan dilaksanakan mengikut keperluan dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan atlet negara berada dalam prestasi terbaik bagi bersaing di Sukan SEA Thailand dan kejohanan utama yang lain.

Mengenai pengguguran acara oleh Thailand, Hannah berkata, perubahan tersebut akan memberi kesan kepada jumlah pingat yang boleh dipungut oleh kontinjen Malaysia kerana ia melibatkan acara tumpuan seperti akuatik-terjun, berbasikal, gimrama, e-sukan dan pencak silat.

Tambahan pula, penambahan acara memberi kelebihan kepada Thailand selaku tuan rumah dengan acara yang memberi kelebihan kepada atlet mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram