Speedy Tigers mara ke suku akhir Piala Dunia 2023


  • Podium
  • Khamis, 19 Jan 2023

Skuad hoki kebangsaan menumpaskan New Zealand yang menduduki rangking kesembilan dunia. — Facebook/MHC

SKUAD hoki negara, Speedy Tigers mengesahkan kemaraan mereka ke suku akhir Piala Dunia Hoki 2023 menerusi kemenangan 3-2 ke atas New Zealand dalam perlawanan ketiga Kumpulan C di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Khamis.

Jaringan Faizal Saari pada minit ke-57 membolehkan pasukan kebangsaan mendapatkan laluan lebih mudah ke peringkat seterusnya selepas berada di tangga kedua pasukan.

Dalam perlawanan itu, Speedy Tigers terlepas peluang menjaringkan gol awal apabila pukulan rendah sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim terkena penjaga gol lawan, Dixon Dominic pada minit ketujuh.

Bagaimanapun, sentuhan mudah Faizal selepas menerima lorongan dari Shello Silverius berjaya meletakkan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia di hadapan skuad Black Sticks pada minit kelapan.

325593021_557381076434385_9093395478004719744_n

Skuad Speedy Tigers bersungguh-sungguh mengawal gawang gol mereka. Facebook/Hockey India

Selepas kedua-dua pasukan tidak berjaya menghasilkan sebarang jaringan pada suku kedua, Muhammad Razie menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-42.

Percaturan strategi pasukan di ranking kesembilan dunia yang membiarkan gol mereka tanpa penjaga bagi menambah tenaga pemain dalam padang ketika permainan berbaki 10 minit ternyata berhasil apabila meledakkan dua gol dalam tempoh dua minit.

Jaringan pertama New Zealand pada minit ke-51 diperoleh melalui gol padang Phillips Hayden diikuti pukulan sudut penalti yang disempurnakan Lane Sam seminit kemudian.

Namun, Faizal sekali lagi muncul wira Speedy Tigers apabila menjaringkan gol kemenangan menewaskan Dominic empat minit sebelum wisel penamat.

Malaysia memulakan kempen kumpulan C dengan langkah kiri apabila tewas 4-0 kepada juara tiga kali, Belanda sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Chile.

Pencapaian terbaik skuad hoki kebangsaan pada saingan Piala Dunia apabila menduduki tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram