Yakin perancangan 'coach', Speedy Tigers atur strategi benam Sepanyol di pentas Piala Dunia


  • Podium
  • Ahad, 22 Jan 2023

Marhan Jalil (kanan) mengawal bola semasa perlawanan menentang New Zealand di Piala Dunia di Bhubaneswar. — Agensi

PEMAIN pertahanan skuad hoki kebangsaan, Najmi Farizal Jazlan mengakui dia dan rakan-rakannya sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membenam pasukan pilihan, Sepanyol dalam Piala Dunia Hoki 2023.

Baginya, perlawanan yang bakal dijadualkan berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Ahad akan memberi mereka peluang untuk mara, selepas mengetahui strategi terbaik serta keazaman membara akan membantu mereka melangkah ke peringkat suku akhir.

"Kami semua mempunyai satu cita-cita yang sama, iaitu untuk menewaskan Sepanyol. Ia merupakan satu cabaran yang besar untuk kami, tetapi Speedy Tigers mahu membuktikan kepada orang ramai akan kebolehan kami.

"Kami yakin, tetapi tidak terlalu meninggi diri. Kami perlu percaya dengan perancangan yang diberikan kepada kami daripada pihak kejurulatihan dan turun dengan cara yang terbaik di atas padang," katanya.

Sebelum ini, pasukan negara berdepan permulaan sukar dalam aksi pembukaan selepas tewas di tangan Belanda 0-4, namun berjaya menundukkan Chile (3-2) dan New Zealand (3-2).

Tambah Najmi, mereka turut mempunyai misi untuk mengangkat imej dan reputasi skuad Speedy Tigers dan menarik lebih ramai penonton akan sukan hoki.

"Kami tidak mahu penyokong hanya mengikuti perkembangan kami ketika Piala Dunia Hoki, kami mahu mereka untuk terus bersama kami setiap masa.

"Ia merupakan satu harapan kami kepada generasi akan datang, yang muda-muda untuk terlibat dalam sukan ini dan meneruskan legasi yang kami tinggalkan," katanya.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam pertandingan itu adalah pada 1975 apabila mereka mara ke peringkat separuh akhir ketika dipilih sebagai tuan rumah.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengumumkan bahawa tayangan secara langsung bakal diadakan di dua skrin besar pada pukul 6.45 petang Ahad.

Beliau berkata, dua lokasi berkenaan ialah Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

"Yang tak balik kampung, dua lokasi skrin besar disediakan untuk saksikan pasukan Hokita bermain dalam Hoki Piala Dunia 2023.

"Untuk memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia, saya akan menyambut hari pertama Tahun Baharu Cina di Dataran Merdeka. Jom!,” kata Yeoh menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya pada Ahad.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk turun beramai-ramai memeriahkan program tersebut sebagai tanda sokongan kepada skuad hoki negara. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram