
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dilantik sebagai duta sukan Johor dan akan berganding bahu dengan beberapa atlet bertaraf dunia untuk memacu inisiatif pembangunan sukan dan belia di negeri berkenaan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semasa sesi soal jawab dengan peminat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Cafeteria JDT bagi membincangkan isu-isu terkini kelab.
Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ menegaskan bahawa tumpuannya bukan hanya kepada pembangunan bola sepak di Johor, tetapi juga untuk memartabatkan semua jenis sukan di negeri tersebut.
BACA LAGI: Bakat Terengganu FC tak pernah putus, 3 anak muda tampak sedia isi kekosongan skuad utama
BACA LAGI: Bukan sekadar nasib, Safawi kata gol Olimpico hasil latihan gigih
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Chong Wei yang terkenal dengan gelaran 'Raja Superseries', tiga kali pemenang pingat perak Olimpik dan empat kali juara All-England akan bekerjasama dengan beberapa ikon sukan terkenal seperti Sonny Bill Williams, Khabib Nurmagomedov, dan Tim Cahill untuk memacu program pembangunan sukan di Johor.
"Saya ingin menekankan bahawa program belia yang saya usahakan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak tetapi melibatkan semua sukan, termasuk badminton, bola keranjang, tinju dan ragbi," kata Tunku Ismail.
Baginda juga menyatakan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah memutuskan bahawa lebih banyak ikon sukan perlu dilibatkan.
"Insya-ALLAH, Datuk Lee Chong Wei akan dilantik sebagai penasihat badminton Johor dan Sonny Bill Williams akan bertindak sebagai penasihat ragbi selain menjadi duta sukan Johor.
"Kami juga mempunyai banyak lagi ikon sukan seperti Tim Cahill dan Khabib Nurmagomedov yang akan membuka gimnasium di sini.
"Kesemua mereka adalah duta sukan dan ikon Johor, dengan banyak program yang akan diperkenalkan untuk golongan belia Johor," tambah Tunku Ismail.
Pada masa ini, JDT telah berkembang menjadi lebih daripada sekadar sebuah kelab bola sepak, dengan penubuhan pasukan-pasukan dalam pelbagai sukan seperti futsal, hoki ais dan tinju, yang dikendalikan oleh Mohd Fakhan Haron.
Mereka juga memiliki pasukan perlumbaan yang disertai oleh Hafizh Syahrin Abdullah, yang bertanding dalam Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram