
TRAGEDI kemalangan jalan raya yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan, Perak pada Selasa bukan sahaja mengundang rasa pilu seluruh negara.
Malah, nahas itu turut membangkitkan semula ingatan terhadap insiden hitam yang meragut 11 nyawa anggota pasukan sama di Lebuhraya Karak lebih tiga dekad lalu.
Manakan tidak, kemalangan terbaru di Teluk Intan itu berlaku apabila trak yang membawa anggota FRU terbabit bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.
Lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
BACA LAGI : Tiada ketum ditemui dalam lori, 6 FRU masih kritikal — Ayob Khan
Dua lagi anggota dilaporkan cedera. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Susulan itu, kejadian menyayat hati itu turut mengimbau semula insiden tragis pada 28 Februari 1990 di KM31 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Pahang yang turut melibatkan anggota FRU dari Platun 4B.
Dalam kejadian tersebut , 11 anggota terbunuh apabila trak FRU yang mengetuai konvoi lima kenderaan bertembung secara berdepan dengan sebuah bas ekspres yang hilang kawalan selepas breknya gagal berfungsi.
Keadaan lori FRU yang terbabit kemalangan dengan muatan lori batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan, Perak pada Selasa. —Gambar/Facebook Info Jenayah
Nahas itu turut melibatkan 12 kenderaan, termasuk sebuah lori tangki minyak yang merempuh dari arah belakang selepas cuba mengelak kemalangan.
Lima anggota maut di tempat kejadian manakala enam lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Empat orang awam turut terkorban dalam tragedi tersebut.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Koperal Mohd Hilmi Ismail dan Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim dan Mohd Som Puteh, serta Konstabel Mohd Lazim Admin, Abd Razak Sharif, Wan Mazland Bidin, Mohd Razali Bidin, Mohd Samsudin Hamad, Sazali Hussin dan Kok Kiong.
Dalam pada itu, pengguna media sosial menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden berulang melibatkan kenderaan berat di jalan raya.
Manakan tidak, walaupun sudah lebih 30 tahun berlalu, namun tragedi melibatkan kenderaan berat masih menjadi igauan ngeri di jalan raya dalam negara.
Seorang pengguna Facebook, Cloud GO menyuarakan kebimbangan terhadap tahap penyelenggaraan kenderaan berat dan tanggungjawab pemilik serta pemandu.
"Semua kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan brek dan sebagainya ini perlu dihentikan. Kenderaan seperti ini sepatutnya diselenggara dan diurus dengan betul.
"Tanggungjawab terletak pada pemilik, dan mereka seharusnya dipertanggungjawabkan bersama dengan pemandu yang cuai," katanya.
Seorang lagi warga maya Alex Ting turut menyuarakan pendapat yang sama.
"Sudah tiba masanya pihak berkuasa dan semua pemegang taruh memperkukuh penguatkuasaan, menilai semula prosedur penyelenggaraan kenderaan komersial serta memastikan setiap pemandu dan syarikat pengangkutan bertanggungjawab sepenuhnya.
"Tragedi seperti ini tidak boleh menjadi kebiasaan dan tidak boleh berulang," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram