‘Dia tak meraung tapi dia tunggu’, isteri kongsi video terakhir arwah Koperal Akmal, rakan terasa hilangnya sahabat suka bergurau


  • Massa
  • Selasa, 13 Mei 2025

Koperal Akmal Muhamad merupakan salah seorang daripada sembilan anggota FRU yang maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan dekat Perak pada Selasa. — Gambar/Facebook Akmal Muhamad

NEGARA dikejutkan dengan tragedi menyayat hati membabitkan kemalangan maut konvoi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan dekat Perak yang mengorbankan sembilan anggota pada Selasa. 

Kemalangan ngeri itu berlaku apabila konvoi FRU berlanggar secara berdepan dengan sebuah lori membawa muatan batu. 

Ketika kejadian, konvoi berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Sungai Senam dekat Ipoh, Perak selepas selesai menjalankan tugasan bantuan keselamatan sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.

BACA LAGI : [VIDEO] TERKINI: Nahas Teluk Intan: Pemandu lori FRU meninggal dunia ketika dirawat di hospital, pemandu lori batu tak cedera

BACA LAGI : [VIDEO] Nahas lepas Ops Chariot, 9 anggota FRU maut bertembung lori muatan batu di Teluk Intan

Lapan anggota disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. 

Tragedi berdarah itu turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan seperjuangan mangsa.

Seorang daripada mereka, Fitri Ahmad, memuat naik satu hantaran menyentuh hati di laman Facebook sebagai penghormatan terakhir buat rakannya, Koperal Akmal Muhamad.

"Selamat jalan buddy Yoh (Koperal Akmal Muhamad) FRU 5. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Tiada lagi gurauan 'buddy' dalam group," tulisnya ringkas. 

Sementara itu, isteri kepada arwah Koperal Akmal, Hasliza Hadzri turut berkongsi video terakhir suaminya yang sempat dirakam sebelum insiden tersebut berlaku. 

Video tersebut memaparkan detik-detik mesra arwah bersama rakan setugasya yang lain dan turut memperlihatkan senyuman terakhir arwah Akmal sebelum kejadian. 

Dalam pada itu, sehari sebelum tragedi menyayat hati yang meragut nyawanya, Allahyarham Akmal sempat berkongsi gambar ilustrasi gambar ibu gajah yang kehilangan anaknya akibat dilanggar sebuah lori muatan ayam dalam kejadian kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada Ahad lalu. 

Malah kapsyen ilustrasi gambar tersebut memberi makna yang cukup mendalam. 

"Dia tidak meraung, tetapi dia tunggu. Kasih ibu, cinta yang tak minta dibalas," menurut kapsyen dalam gambar tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram