
SERAMAI 13 orang maut dalam satu letupan yang berlaku semasa proses pelupusan peluru tamat tempoh tentera di Jawa Barat, Indonesia pada Isnin.
Letupan itu berlaku kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan di kawasan terpencil di Daerah Garut, lokasi rutin pemusnahan peluru usang oleh Tentera Darat Indonesia.
Jurucakap tentera, Kristomei Sianturi, memberitahu Kompas TV berkata, sembilan daripada mangsa adalah orang awam, manakala empat lagi merupakan anggota tentera.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak tentera sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Seorang lagi jurucakap tentera, Wahyu Yudhayana menjelaskan letupan berlaku ketika pegawai sedang menyelesaikan proses pelupusan peluru tersebut.
"Namun begitu, belum ada laporan rasmi tentang kejadian terbabit dan satu siasatan turut akan merangkumi bagaimana orang awam boleh berada begitu dekat dengan kawasan letupan," katanya.
Dalam pada itu, Kristomei memaklumkan kawasan letupan itu terletak di sebuah padang yang lazim digunakan untuk aktiviti pelupusan bahan letupan oleh pihak tentera.
Ujarnya, penduduk tempatan kebiasaannya akan berkumpul selepas aktiviti pelupusan untuk mengutip bahan-bahan besi buruk yang tertinggal.
Tambah beliau lagi, kawasan tersebut telah dibersihkan bagi memastikan keselamatan jika berlaku letupan susulan.
Untuk rekod, letupan pada Isnin ini adalah insiden kedua yang melibatkan peluru tentera Indonesia dalam tempoh lebih daripada setahun.
Pada Mac tahun lalu, satu kebakaran besar berlaku di sebuah depot tentera Indonesia yang menyimpan peluru luput berhampiran Jakarta, menyebabkan beberapa siri letupan berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram