Lapan suspek, 5 kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela Ling — Polis KL


  • 112
  • Khamis, 08 Mei 2025

Rusdi berkata, rakaman CCTV menunjukkan tiga buah kenderaan memintas kereta e-hailing yang membawa Pamela (gambar kecil) pada hari kejadian. 

SEKURANG-KURANGNYA lapan suspek dan lima buah kenderaan terlibat dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang berlaku pada 9 April lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga buah kenderaan memintas kereta e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian. 

"Manakala dua lagi kenderaan berada berhampiran lokasi sebagai peninjau. Kami percaya sekurang-kurangnya lapan suspek terlibat dalam penculikan tersebut.

BACA LAGI : Suami antara suspek disiasat berkemungkinan terlibat dalam kes penculikan Pamela Ling — KPN

BACA LAGI : Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya

"Gerakan suspek berjaya dikesan melalui beberapa kamera CCTV di Putrajaya selepas mangsa diculik. 

"Mereka menggunakan dua laluan berbeza dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti ke mana mereka pergi selepas meninggalkan Putrajaya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah beliau lagi, sekurang-kurangnya tiga daripada lima kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut dikenal pasti menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, polis turut tidak menolak kemungkinan Pamela sendiri bertindak merancang untuk penculikan terhadap dirinya.

"Ia adalah salah satu sudut dalam siasatan kami. Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk menghapuskan kemungkinan berkenaan," katanya.

Ujarnya, rakaman CCTV menunjukkan mangsa menurut arahan penculiknya ketika dia dibawa keluar dari kereta e-hailing.

Pamela dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan pada 9 April lalu. 

“Tiada sebarang pergelutan kerana mangsa mengikut arahan penculiknya,” tambahnya.

Apabila ditanya sama ada insiden itu melibatkan kumpulan profesional, Rusdi berkata, ia adalah sesuatu subjektif.

“Beri kami ruang untuk menyiasat kes itu dan memastikan dia selamat kembali,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada mangsa masih berada di dalam, Rusdi berkata, rekod imigresen menunjukkan dia masih berada di Malaysia.

"Bagaimanapun, dia mungkin dibawa keluar menggunakan laluan haram. Kami menggunakan semua sumber untuk mengesannya," katanya.

Pada 9 April, Pamela dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang dalam perjalanan ke temu janji tersebut. 

Peguamnya kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama berhubung kehilangan berkenaan.

Sehingga Ahad, tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berhubung kehilangan mangsa.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa suami Ling merupakan antara individu yang berkemungkinan menjadi suspek dalam kes tersebut.

"Setakat ini, kemungkinan itu wujud, dan tidak menolak penglibatan individu lain.

"Kami merakam keterangan lebih 16 individu termasuk suaminya. Kami juga akan merakam keterangan anak-anak mereka yang menetap di Singapura. 

"Motif masih belum dikenal pasti," katanya. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel danTelegram