
PROSES bedah siasat bagi keseluruhan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan, Perak, dijangka selesai menjelang tengah malam Selasa.
Memetik lapran Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setakat ini, tiga jenazah sudah selesai menjalani proses bedah siasat yang dijalankan secara serentak oleh tiga doktor berlainan.
"Setiap proses bedah siasat dilakukan antara dua hingga tiga jam. Jadi kita jangka antara pukul 10 hingga 11 malam nanti (prosedur berkenaan) akan selesai.
BACA LAGI : [VIDEO] 'ALLAHUAKBAR', ibu hanya mampu mengucap takbir lihat anak lelaki 12 tahun ditemukan lemas di Baling
"Jenazah kemudian akan dimandikan di hospital dan disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebelum dibawa ke Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 di Ipoh, Perak untuk disolatkan sekali lagi dan urusan penghormatan terakhir.
"Kemudian jenazah akan dibawa ke lokasi pengebumian, masing-masing dua di Kampar, manakala Ipoh (tiga); Taiping (tiga) dan Lunas, Kedah (satu)," katanya pada Selasa.
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Tambah Ayob lagi, tiada ketum ditemui dalam lori yang melanggar kenderaan yang membawa anggota Unit FRU berkenaan.
"Terdapat khabar angin mengatakan pemandu itu membawa ketum dalam lori, tetapi kami tidak menemui apa-apa.
"Ujian air kencing juga mengesahkan tiada dadah," katanya.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 45 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan enam kes.
"Satu berkaitan dadah, satu kes rogol dan empat kes kecurian," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa semua kes tersebut telah dibicarakan di mahkamah dan hukuman telah dijatuhkan.
Beliau menambah, suspek akan direman pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa pemandu berkenaan cuba mengelak sebuah lagi kenderaan, Ayob berkata, pihaknya akan menyiasat dari semua sudut dan tidak dapat mengesahkan apa-apa pada peringkat awal siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram