[VIDEO] Pemandu lori terlibat nahas FRU ada 6 rekod jenayah – Ketua Polis Perak


  • 112
  • Selasa, 13 Mei 2025

Nahas yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan, Perak pagi Selasa. — JBPM Perak

PEMANDU lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam kemalangan ngeri melibatkan kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) hingga meragut nyawa sembilan anggotanya, dikesan mempunyai enam rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dadah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman memandu lori didapati negatif dadah berdasarkan keputusan ujian air kencing yang dijalankan.

"Suspek mempunyai enam kes jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dadah, selain beberapa saman trafik yang masih belum dijelaskan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Teluk Intan, Perak pada Selasa. 

BACA LAGI : [VIDEO] TERKINI: Nahas Teluk Intan: Pemandu lori FRU meninggal dunia ketika dirawat di hospital, pemandu lori batu tak cedera

BACA LAGI : [VIDEO] Nahas lepas Ops Chariot, 9 anggota FRU maut bertembung lori muatan batu di Teluk Intan

Ketika ditanya sama ada suspek merupakan bekas banduan, beliau berkata, lelaki itu sememangnya mempunyai rekod jenayah namun tidak dapat mengesahkan sama ada dia pernah menjalani hukuman penjara atau tidak kerana siasatan masih dijalankan.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, kenderaan FRU terbabit merupakan sebahagian daripada konvoi tujuh kenderaan yang terdiri daripada satu bas, empat lori berat dan dua kenderaan Land Rover.

"Lori FRU yang terlibat dalam perlanggaran itu merupakan kenderaan kelima dalam konvoi dan membawa peralatan, yang turut menyumbang kepada impak kemalangan yang serius," katanya.

Jelasnya, mengikut prosedur operasi standard FRU, penugasan seperti ini biasanya mengambil masa tiga hari.  

"Satu hari diperuntukkan untuk perjalanan ke lokasi tugasan, satu hari untuk tugasan dijalankan, dan satu hari lagi untuk perjalanan pulang," katanya. 

Menurut beliau, kemalangan yang berlaku di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik itu melibatkan konvoi FRU Unit 5 dan sebuah lori membawa muatan batu yang berlanggar secara berdepan.

"Konvoi itu dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Sungai Senam dekat Ipoh, Perak selepas selesai menjalankan tugasan bantuan keselamatan sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan," katanya.

Tambah beliau lagi, sehingga kini sembilan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam disahkan maut. 

"Lapan daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Anggota yang cedera masih menerima rawatan kecemasan dan pihak hospital sedang menunggu proses bedah siasat," katanya.

Menurut beliau, proses bedah siasat dijangka bermula sekitar pukul 2.30 petang dan dijangka selesai paling awal pada jam 8 malam ini memandangkan terdapat sembilan mayat, dan proses itu akan mengambil masa.

"Namun begitu, semua urusan penghantaran jenazah dari Teluk Intan ke Ipoh telah disediakan," ujarnya.

Katanya, daripada sembilan mangsa, tujuh beragama Islam manakala dua lagi bukan Islam  yang mana seorang daripadanya adalah Orang Asli dan seorang lagi berbangsa India.

Beliau turut memaklumkan bahawa lapan daripada mangsa berasal dari Perak, manakala seorang lagi dari Kedah. — The Star/MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram