
TIGA lelaki disyaki ahli sindiket curi kenderaan pacuan empat roda (4WD) maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah rumah inap desa (homestay) di Taman Sejahtera dekat Sik, Kedah awal pagi Khamis minggu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi semasa pasukan khas Bukit Aman bersama anggota JSJ Kedah dan Melaka menjalankan serbuan berdasarkan risikan ke atas sindiket tersebut.
Katanya, dua suspek yang berada di dalam sebuah bilik bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis menyebabkan anggota terpaksa membalas tembakan, manakala seorang lagi suspek menyerang menggunakan parang.
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
BACA LAGI : Suami antara suspek disiasat berkemungkinan terlibat dalam kes penculikan Pamela Ling — KPN
"Salah seorang anggota polis terkena parang pada jaket kalis peluru.
"Bagi mempertahankan diri, pasukan kita melepaskan tembakan dan ketiga-tiga suspek maut di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Selasa.
Mohd Shuhaily berkata dua suspek yang berada di dalam sebuah bilik bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis menyebabkan anggota terpaksa membalas tembakan. — Gambar/ Polis Kedah
Semakan mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 37 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan.
"Mereka mempunyai 112 rekod jenayah dan dadah secara keseluruhan.
"Dua daripadanya dikehendaki atas 34 kes curi kenderaan, manakala seorang lagi tidak berada dalam senarai orang dikehendaki," katanya.
Polis turut merampas dua pucuk pistol satu pistol FN buatan Belgium dengan lima butir peluru dan satu pistol CZ 75D Compact dengan empat peluru serta parang yang digunakan suspek.
Turut ditemui di lokasi ialah 26 set nombor plat palsu, tujuh kad Touch ‘n Go, satu alat pemprograman kenderaan, pelbagai peralatan membaiki kenderaan, dan sebuah 4WD yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 26 April lalu.
Mohd Shuhaily berkata, sindiket ini dipercayai terlibat dalam 73 kes curi kenderaan sejak tahun lalu termasuk 18 kes di Melaka dari Januari hingga April tahun ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Tambah beliau, dua kenderaan yang dicuri berjaya ditemui semula di daerah Sabayoo, Songkhla, Thailand hasil kerjasama dengan pihak berkuasa negara itu.
Empat warga Thailand berumur antara 34 hingga 58 tahun turut ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar kenderaan curi ke negara jiran. — The Star/ IMRAL HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram