
PERUBAHAN terus disaksikan dalam kancah Liga A1 Semi Pro apabila laporan mengatakan lebih banyak pasukan akan berentap, termasuk skuad muda Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.
Tidak terhenti di situ, terdapat ura-ura menyebut beberapa kelab dalam kejohanan itu akan dibawa ke Liga Super, namun kata putus hanya boleh diberi pihak pengurusan dan pengelola.
Perancangan itu menunjukkan pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) tersebut sudah menerima respons baik dengan penyokong mengharapkannya untuk terus mempamerkan kemeriahan.
BACA LAGI: Lebih sengit berbanding Liga Super, drama hari terakhir Liga M3 julang Imigresen FC sebagai juara
BACA LAGI: Imigresen FC cari pemain bertaraf Liga Super jika lulus syarat pelesenan kelab
Imigresen FC merupakan antara pasukan terbaik dalam saingan Liga A1 Semi Pro kebelakangan ini. — Facebook/Imigresen FC
Bagaimanapun, ada juga beberapa perkembangan yang seperti kurang direstui orang ramai seperti perancangan naib juara musim lalu, Imigresen FC untuk menukar gelanggang sendiri.
"Dari Bangi ke Alor Setar, difahamkan Imigresen FC pilih Stadium Darul Aman, Kedah sebagai ‘homeground’ andai lulus pelesenan kelab untuk beraksi di Liga Super musim depan," tulis pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi X.
Mereka yang menjuarai Liga A1 Semi Pro dua musim lalu pernah dikaitkan ke divisyen teratas negara, tetapi tidak diberi keizinan disebabkan pelbagai faktor, termasuk berhubung kantung kewangan pasukan.
Bagaimanapun, kesungguhan berterusan yang ditunjukkan sudah tentu akan membuka mata Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan penyertaan kelab tersebut bagi merancakkan saingan musim depan.
Stadium Selayang merupakan salah satu stadium terbaik yang boleh dipilih Imigresen FC.
Namun, perancangan untuk berpindah ke Stadium Darul Aman seperti tidak menerima restu peminat yang beranggapan jarak perlu ditempuhi untuk menyaksikan perlawanan secara langsung adalah terlalu jauh.
Ini kerana pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu sudah lama menapak di Lembah Klang sejak penubuhannya, sekali gus menyaksikan penyokong mereka lebih ramai di kawasan berkenaan.
"Boleh sahaja sewa Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang untuk dijadikan 'homeground'. Sengaja cari pasal pilih stadium jauh dari Lembah Klang. Main home pun kena berjalan jauh, main away pun kena jalan jauh. Tak lama la alamatnya ni," kata Mirza Daniel.
"Kenapa tidak berkongsi sahaja stadium dengan pasukan sekitar Lembah Klang? Kalau pindah jauh, perlu tanggung kos perjalanan semata-mata kerana jadi pasukan tuan rumah," kata Imn J.
Persoalan mengenai masa depan skuad Sang Kenari terus terbiar tanpa jawapan. — Facebook/KDA FC
Imigresen FC yang turut dikenali dengan julukan The Mighty Tigers itu menggunakan Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai gelanggang sendiri bagi musim 2024/25.
Jadi, perpindahan ke Utara tanah air akan membebankan, lebih-lebih lagi dengan suntikan dana setiap kelab Liga A1 Semi Pro yang kecil akan memberi tekanan kepada struktur kewangan pasukan.
Ketika ini, Stadium Darul Aman masih menjadi gelanggang utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun masa depan kelab itu yang tidak menentu membuatkan mereka berkemungkinan tidak akan bersaing musim depan.
Sekiranya Imigresen FC sah bertanding dalam divisyen teratas, ini akan memberi nafas baharu buat stadium tersebut yang semakin sepi tanpa kunjungan peminat sepanjang kempen 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram