Imigresen FC cari pemain bertaraf Liga Super jika lulus syarat pelesenan kelab


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Imigresen FC menjuarai Liga M3 selepas memintas Kuala Lumpur Rovers pada saat akhir. — Majoriti/Nazreen Izahar

JUARA saingan Liga M3, Imigresen FC menyedari yang mereka perlu melakukan perubahan yang sepatutnya jika ingin bersaing dengan gergasi bola sepak Malaysia pada musim depan.

Pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu perlu melakukan perubahan dari segi komposisi pemain seandainya mereka berjaya layak bermain di Liga Super tahun depan.

Setakat ini, gelaran juara yang dimiliki Imigresen tidak menjanjikan tempat ke Liga Super. Mereka perlu melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan bagi membolehkan pasukan tersebut bersaing bersama-sama Johor Darul Takzim, Selangor FC dan Terengganu FC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Imigresen FC, Iqmal Haqimie Abdullah, pasukan yang diberikan nama The Mighty Tigers itu akan melakukan rombakan skuad pada musim hadapan.

Rombakan itu akan dilakukan seandainya Imigresen sah naik ke Liga Super selepas lulus syarat pelesenan.

"Kita perlu lihat Liga Super ini sebagai pertandingan yang sangat kompetitif dan tinggi tahapnya.

"Oleh itu, kita perlukan tenaga-tenaga yang baharu. Kita perlukan pemain-pemain yang lebih bersedia untuk Liga Super," kata Iqmal kepada Majoriti.

Untuk rekod, Imigresen kini mempunyai pemain-pemain seperti Syamim Yahya, Nasriq Baharom dan Hafiz Kamal yang pernah beraksi di Liga Super serta mewakili Harimau Malaya.

Iqmal juga mengatakan yang Imigresen tidak akan menghalang mana-mana pemain untuk berhijrah sekiranya terdapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain terutamanya di Liga Super.

Hal ini kerana, status pelesenan yang masih tergantung sedikit sebanyak memberikan tanda tanya kepada masa depan kelab dan para pemain. Oleh itu, mereka tidak terlalu mengikat pemain dalam hal perpindahan.

Dalam pada itu bagi Mat Zan pula, dia memberikan bayangan tidak akan mengendalikan Imigresen seandainya mereka sah akan ke Liga Super.

Hal ini kerana, bekas pengendali Melaka United itu tidak mempunyai lesen kejurulatihan pro.

"Tak boleh (bawa pasukan di Liga Super). Sebab jurulatih Liga Super kena ada lesen pro. Saya cuma ada lesen A sahaja.

"Jika Imigresen akan ke Liga Super. Saya mungkin kena cari pasukan lain yang bermain di Liga Super," ujar Mat Zan.

Sebagai juara, Imigresen membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM100 ribu. Kini kerja keras menanti pengurusan kelab untuk memastikan tempat mereka di Liga Super terjamin.

Bagi naib juara iaitu Kuala Lumpur Rovers, selain perlu memastikan syarat pelesenan dipatuhi mereka perlu menewaskan pasukan tangga kesebelas Liga Super dalam perlawanan play-off untuk naik ke liga atasan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram