FFP lebih baik dari gaji siling, mampu selesai isu kewangan kelab Liga Super tapi MFL tak boleh berlembut — Zulakbal


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Pelaksanaan FFP yang tegas mampu menghalang kelab daripada terperangkap dalam masalah kewangan. — MFL

MASALAH kewangan melibatkan kelab-kelab tempatan tidak menampakkan petanda akan pulih sama ada dalam masa pendek atau panjang

Sebaliknya, isu Liga Malaysia (Liga M) itu menunjukkan risiko semakin parah.

Pelbagai kelab mula merancang untuk menarik diri daripada saingan Liga Super seperti Perak FC, Sri Pahang FC serta Kedah Darul Aman FC yang sedang bertarung untuk terus 'bernyawa'.

Rata-rata kelab terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi melebihi kemampuan untuk beroperasi. Akibat itu, mereka kemudiannya berdepan masalah kewangan yang teruk.

BACA LAGI: [VIDEO] MB Sanusi tidak boleh salahkan FAM-MFL, sebaliknya kelab yang urus duit — Zulakbal

BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi

FFP dilihat lebih mesra kepada semua kelab berbanding gaji siling. — Perak FC

Ia mencetuskan persoalan, sebagai badan penganjur liga, apakah mekanisme yang perlu dilaksanakan oleh pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mengekang perkara ini.

Adakah ia gaji siling (salary cap) atau financial fair play (FFP)?

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, tindakan lebih baik untuk dilaksanakan MFL adalah menguatkuasakan FFP berbanding pelaksanaan gaji siling.

Hal ini kerana, FFP dilihat lebih menyeluruh berbanding pelaksanaan gaji siling yang menyebabkan kelab-kelab berkemampuan terpaksa berbelanja mengikut had ditetapkan.

Manakala FFP pula lebih fleksibel kerana MFL akan menentukan berapakah jumlah jualan yang boleh dilakukan oleh satu-satu kelab berdasarkan tahap kewangan mereka.

"Kita ambil contoh di Australia yang mengamalkan FFP, liga mereka menjadi seimbang kerana kelab-kelab di sana perlu berbelanja berdasarkan kemampuan mereka. Jadi, kalau mereka nak gajikan pemain lain melebihi bajet, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

"FFP ini adil untuk semua, ia secara tak langsung membuka saingan lebih terbuka buat semua. Tidaklah kita tengok majoriti pemain kebangsaan di satu-satu kelab saja. FFP dapat membantu kelab keluar daripada masalah pengurusan gaji dan perbelanjaan lain.

"Saya lebih cenderung kepada FFP berbanding gaji siling kerana ia bersesuaian untuk semua kelab," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim

Namun begitu katanya, untuk memastikan ia berjalan dengan baik, MFL perlu tegas dalam pelaksanaan FFP.

Tambahnya, jika MFL berlembut dengan kelab-kelab, ia berpotensi membuka ruang kepada masalah sama berterusan.

Jelasnya, MFL juga perlu agresif dalam memberikan pendidikan kepada kelab-kelab mengenai cara perniagaan dalam bola sepak kerana ia berbeza dengan urus niaga bidang lain seperti makanan dan perhotelan.

"MFL perlu menyediakan satu garis panduan yang menyeluruh untuk kelab-kelab ini supaya mereka tidak mengalami masalah kewangan lagi.

"Selain itu, mereka juga boleh beri pendidikan kepada kelab-kelab mengenai perniagaan dalam bola sepak, kerana ia jauh berbeza dengan perniagaan lain. Ketua pegawai eksekutif, ketua kewangan, pegawai pemasaran kelab seharusnya diberikan tunjuk ajar bagaimana hendak memastikan kelab diurus dengan baik," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram