Julang piala lepas tinggalkan kelab, bintang buangan Terengganu kini sebaris bekas import Kedah-Selangor


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Adisak meninggalkan Terengganu pada penghujung musim 2023. — Instagram/TFC

KEPUTUSAN untuk meninggalkan pasukan lama mungkin sukar ditelan dan dilupakan namun setiap perpindahan yang berlaku pasti membawa kebaikan tersendiri kepada seorang pemain bola sepak profesional.

Tidak ramai pemain import yang meninggalkan Liga Malaysia (Liga M) mampu mencipta impak besar selepas berhijrah ke kelab luar negara dengan kesukaran untuk menyesuaikan diri akan menjadi isu utama. 

Namun, terdapat segelintir bekas pemain Liga M yang membuktikan keupayaan mereka apabila bukan sahaja terus menyinar, malah juga berjaya menjulang kejuaraan bersama pasukan baharu di saingan berbeza. 

BACA LAGI: Elak sekadar jadi pelengkap Liga Super, TFC wajar ikut jejak langkah Perak-Sri Pahang

BACA LAGI: Setajam striker, bintang CB Sri Pahang-Kedah-Penang ketuai barisan ‘goal-scoring’ Liga Super

Kejayaan berkenaan bukan sahaja mengangkat nama mereka sebagai pemain profesional, tetapi turut memberi gambaran bahawa Liga Malaysia berupaya menjadi pentas loncatan bagi pemain import berbakat.

Pencapaian pemain import selepas meninggalkan Liga M memberi impak positif terhadap persepsi liga ini di mata dunia, ia secara tidak langsung meningkatkan reputasi Liga Super sebagai satu saingan yang kompetitif dan mampu membina pemain berkaliber tinggi.

Dalam sejarah saingan domestik beberapa musim kebelakangan ini juga menyaksikan beberapa bekas import Liga Super berhasil membuktikan kebolehan mereka di negara berbeza dengan membantu kelab baharu menjulang piala.

1) Adisak Kraisorn

 

Adisak mencium trofi Thai League 2 selepas sah menjadi juara liga itu. — Instagram/Adisak Kraisorn

Penyokong Terengganu FC (TFC) pasti masih mengingati Adisak Kraisorn apabila pemain Thailand berkenaan encipta kejutan dengan menyertai skuad Sang Penyu selepas membantu negaranya memenangi Piala Asean 2022.

Selepas menghasilkan empat gol dan tiga bantuan gol dalam 28 penampilan bersama pasukan Pantai Timur berkenaan, pemain berusia 34 tahun berkenaan meninggalkan Terengganu pada penghujung musim 2023

Berkelana ke Bangkok United, Kasetsart FC dan akhirnya menyertai Chonburi FC pada awal musim 2025 memberi rezeki berbeza buat Adisak. Persembahan Adisak berjaya membantu kelab itu untuk muncul juara saingan divisyen dua Thailand. 

Adisak yang terlibat menghasilkan 15 gol dalam 28 perlawanan liga sambil mencatatkan empat bantuan gol berjaya membawa Chonburi kembali ke Thai League 1 untuk bersaing bersama Buriram United dan BG Pathum United. 

Ia merupakan satu kempen yang cemerlang buat Adisak dan Chonburi dan penyerang berusia 34 tahun itu masih belum hilang sentuhan penyudahnya. The Sharks bergelar juara dengan mengutip 63 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Ayutthaya United. 

2) Hyuri Henrique  

Hyuri (kiri) merupakan import Gergasi Merah pada 2022. — Facebook Selangor FC

Satu lagi kisah bekas import Liga M berhasil mencipta nama bersama kelab luar negara ialah bekas penyerang Selangor FC, Hyuri Henrique yang turut merangkul piala bersama pasukannya  kelab divisyen kedua Brazil, Paysandu pada April 2024. 

Penyerang berusia 33 tahun itu meninggalkan pasukan Lembah Klang pada awal musim 2023 dan akhirnya menikmati kejuaraan memenangi piala selepas membantu Paysandu menjadi juara Campeonato Paraense 2024 dengan agregat 3-1 ke atas Remo-PA.

Pemain kelahiran Brazil itu juga menerima kritikan hebat dari peminat skuad Gergasi Merah dek dianggap tidak memberikan apa-apa sumbangan dan Selangor dikatakan hanya melakukan pembaziran dengan menandatanganinya.

Detik paling memalukan buat Hyuri apabila penyokong Selangor rata-ratanya memberi komen kurang enak pada hantaran ucapan selamat hari jadi sehingga dia sendiri tampil meluahkan kekewaan kepada peminat Gergasi Merah.

Untuk rekod, pemain berkenaan sudah merekodkan lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 11 perlawanan pada musim 2022 untuk Selangor FC.

3) Mahmoud Al-Mardi  

Al-Mardi membantu Al-Hussein SC muncul JPL. — Instagram/Al-Mardi

Bekas tonggak import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi menjadi wira yang membantu kelabnya, Al-Hussein SC muncul juara Jordanian Pro League (JPL) selepas menewaskan Shabab Al-Ordon dalam aksi terakhir liga pada 4 Mei lalu.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan membantu Al-Hussein dengan membuat bantuan jaringan kepada bekas pemain Selangor FC iaitu Reziq Bani Hani dan memberi pasukan berkenaan gol pertama pada minit ke-18. 

Pada minit ke-26 permainan, Al-Mardi mencetak gol kedua. Manakala dua lagi gol Al-Hussein dicetak oleh Sisa dan Majdi Al-Attar pada masa kecederaan. 

Kemenangan itu membantu Al-Mardi menambah trofi kedua dalam kariernya selepas memenangi Piala AFC bersama Al-Muharraq. Manakala, ia merupakan trofi pertama yang diraih Reziq bersama Al-Hussein selepas meninggalkan Selangor. 

Al-Mardi dan Reziq berpeluang menambah satu lagi trofi buat Al-Hussein berikutan selepas ini,  pasukan mereka akan berdepan Al-Faisaly dalam aksi separuh akhir Jordan FA Cup pada 9 Mei nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram