[VIDEO] Ada 3 syarikat tunjuk minat ambil alih Perak — Pengerusi Perak


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Masalah kewangan serius dialami skuad TBG kerana mereka difahamkan tidak menerima bayaran gaji penuh sejak lima bulan lalu. — Facebook/Perak FC

PERAK FC nampaknya tidak lagi mengangkat bendera putih daripada terus terkubur daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila dikhabarkan terdapat syarikat komersial berminat untuk menolong mereka.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang sekurang-kurangnya tiga syarikat mahu menghulurkan bantuan kepada pasukan Utara tanah air berkenaan.

"Alhamdulillah. Ada dua, tiga syarikat-syarikat lain yang menunjukkan minat untuk mengambil alih (Perak). Ini kerana mereka pun merasa terkilan kalau Perak tiada lagi dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG

BACA LAGI: 'Rumours' Pahang-KDA FC-Perak-KDN keluar Liga M, peniaga kecil tunggu masa hilang punca rezeki

Perkembangan terbaharu itu jelas memberi harapan baharu buat penyokong The Bos Gaurus (TBG) selepas sebelum ini pihak pengurusan mengumumkan penarikan diri dari saingan Liga Super musim depan kerana berdepan isu kewangan yang terlalu membebankan pasukan berkenaan.

Memetik laporan media sebelum ini, Abdul Azim berkongsi bahawa pihak pengurusan Perak sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad Perak FC termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

Selain itu, Abdul Azim turut mendedahkan The Bos Gaurus hanya memiliki RM1 juta dalam bank untuk melangsaikan 20 peratus tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berkenaan.

Drama tersebut seperti ulang tayang situasi 2020 apabila bekas juara Piala Malaysia 2018 berkenaan pernah mengalami masalah kewangan sehingga menyaksikan mereka tergelincir ke divisyen bawahan.

Selain tiga syarikat komersial itu, usahawan wanita terkenal tanah air iaitu Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida juga berkongsi rupanya didekati untuk menyelamatkan skuad TBG.

Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd bagaimanapun menolak tawaran untuk menjadi penyelamat Perak FC susulan beliau tidak lagi melihat banyak keuntungan boleh diperolehi jika terlibat dalam perniagaan bola sepak.

"Untuk yang terbaru memang saya ada dihantar jemputan untuk bersama mereka (Perak FC). Sama ada saya berminat atau tidak mengambil alih pasukan. Saya rasa sekarang bukan waktunya lagi untuk sebagai peniaga untuk melabur dalam sukan.

"Kita kena tengok sekarang pun gelombang kepada media sosial. Jadi, saya pun banyak kepada media sosiallah. Bola sepak memerlukan dana dan pembelanjaan yang besar. Kerajaan pun tidak tertanggung. Kalau swasta pula return tak dapat sangat kalau kita invest pun.

"Middle man Perak ada bertanya dan Whatsapp dengan saya dalam dua ke tiga hari ni untuk mengaturkan satu perjumpaan. Saya cakap dengan dia yang saya memang tiada arah tuju nak terlibat dalam bola sepak," katanya— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram