
JIKA di Eropah, kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional mampu membuatkan seseorang pemain itu mendapatkan gaji yang besar dan kontrak lumayan.
Namun begitu, lain pula ceritanya di Malaysia apabila majoriti kelab semuanya 'sakit' apabila mereka terpalit dengan isu masalah gaji.
Salah satu kelab yang mengalami masa itu adalah Kelantan Darul Naim FC (KDN). Kelab Pantai Timur itu dilaporkan sudah lama berdepan isu kewangan dengan ia jelas menganggu poket para pemain.
BACA LAGI: 'Kami semua tunggu', Khatul Anuar rayu KDN bayar tunggakan gaji 7 bulan
BACA LAGI: 'Rumours' Pahang-KDA FC-Perak-KDN keluar Liga M, peniaga kecil tunggu masa hilang punca rezeki
Salah seorang yang terkesan adalah penjaga golnya, Khatul Anuar Jalil. Bekas penjaga gol Kuala Lumpur City FC itu berkongsi di media sosial bagaimana bola sepak mungkin bukan lagi menjadi ruangnya mencari rezeki.
Hal ini kerana, dia mendedahkan banyak menerima pesanan daripada kenalannya untuk mempertimbang meninggalkan bola sepak dan mendapatkan kerjaya baharu supaya dapat menyara hidup.
Ada yang mengatakan kerana dia masih muda, lebih baik bertindak segera sebelum terlambat apabila usia mula bertambah.
"Kau pergilah cari kerja lain dulu sementara masih muda," pesan satu nasihat kepadanya.
"Kalau dah tua dah terlambat, nak cari kerja lain," seorang lagi memberikan pesanan kepada Khatul.
"Aku doakan semoga kau berjaya dunia dan akhirat. Pendapat ikhlas, jangan buat masa dalam bola sepak," ujar seorang lagi kenalan penjaga gol itu.
Masa depan penjaga gol itu masih belum dapat diketahui sama ada akan terus bersama Sang Kijang Emas atau tidak.
Buat masa sekarang, belum ada khabar angin mengaitkan Khatul dengan mana-mana kelab Liga Super musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram