MUNGKIN ramai yang tidak perasan, tetapi sebenarnya di sebalik kemeriahan saingan Liga Super, terdapat satu pertandingan menarik berlaku.
Saingan tersebut merupakan pertandingan yang duduk di bahagian bawah piramid bola sepak Malaysia iaitu Liga M3. Sepanjang musim, saingan ini menyajikan pelbagai aksi menarik dan saingan sengit.
Malah, persaingan untuk merebut kejuaraan juga begitu menarik hinggakan pemenang terpaksa ditentukan pada hari terakhir kerana kedudukan mata yang cukup dekat.
Pertarungan mendapatkan takhta Liga M3 sekali gus tiket ke Liga Super musim depan menyaksikan persaingan sengit tiga penjuru melibatkan Kuala Lumpur (KL) Rovers, Imigresen FC dan Harini FT.
Sepanjang musim, KL Rovers merupakan pelopor puncak liga dengan pasukan Lembah Klang itu menguasai sebahagian besar saingan walaupun cuba dihambat oleh Harini dan Imigresen.
Harini dan Imigresen nyata tidak mahu melepaskan sebarang peluang dan mereka sedikit demi sedikit menghambat KL Rovers hinggalah ke hari terakhir liga.
Memasuki hari terakhir Liga M3, KL Rovers perlu melakukan perhitungan dengan Harini sementara Imigresen berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka untuk bertemu Melaka FC.
Imigresen FC meraih kemenangan pada hari terakhir liga untuk bergelar juara. — Facebook/Imigresen FC
Hajat mendapatkan tiga mata untuk KL Rovers tidak berjaya kerana mereka diikat 1-1 dengan Harini yang mana Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Harini di depan pada minit ke-25 sebelum Rafie Mat Yaacob menyamakan kedudukan lima minit berselang.
Namun begitu, ia tidak cukup untuk memberikan kejuaraan buat KL Rovers kerana keputusan di Stadium Hang Jebat mengubah segalanya.
Di Stadium Hang Jebat, sepakan penalti Azim Rahim di separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat Imigresen dan tiga mata diperoleh mereka memastikan kejuaraan berjaya dirampas daripada KL Rovers.
Akhirnya, Imigresen diangkat sebagai juara Liga M3 dengan mengutip 55 mata sementara KL Rovers mendapat 54 mata. Harini pula menamatkan saingan sebagai pasukan ketiga terbaik dengan memperoleh 51 mata.
Imigresen kini boleh dikatakan sudah satu kaki ke Liga Super 2024 namun perlu melepasi syarat pelesenan sebelum dibenarkan beraksi.
Sementara bagi KL Rovers pula, mereka akan memasuki pusingan play-off dan jika menang, kelab itu boleh ke Liga Super jika lepas syarat pelesenan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram