
USAI saingan Liga Super belum melabuhkan tirainya, kecoh dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air mengenai khabar angin Brunei DPMM FC dilaporkan akan menyertai semula Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026.
Menurut sumber Majoriti sebelum ini, Brunei DPMM FC yang pernah beraksi di Liga Super dilaporkan sedia untuk kembali semula ke saingan tempatan dengan mereka bersedia meninggalkan Liga Perdana Singapura (SPL).
Memetik laporan media sebelum ini, Brunei DPMM FC sanggup menaja tiket penerbangan, hotel penginapan dan kos-kos lain yang perlu ditanggung kelab Liga Super jika menghadapi perlawanan 'away' di negara itu.
BACA LAGI: Dikhabar kembali ke Liga Super, fans anggap Brunei tak sekuat Kedah, Pahang untuk cabar JDT
BACA LAGI: Bekas juara Piala Malaysia buat 'comeback' cabar kelab Liga Super?
Pasukan dari Borneo tersebut bakal melengkapkan pasukan dalam Liga Super selepas Melaka FC turut dilaporkan bakal bermain di saingan utama Liga M selepas menjuarai Liga A1 Semi Pro musim ini.
Kehadiran semula Brunei DPMM FC dalam Liga Malaysia bukan sahaja mengimbau nostalgia era lalu tetapi juga berpotensi meningkatkan mutu persaingan dan menarik minat lebih ramai penyokong bola sepak di rantau ini.
Kehadiran kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu dikatatakan untuk menggantikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sri Pahang FC dan Perak FC yang dijangka tidak beraksi dalam Liga Super pada musim hadapan susulan masalah dalaman yang dihadapi.
Dengan khabar angin ketiadaan tiga kelab berkenaan, Brunei DPMM FC boleh mengambil insiatif untuk membawa masuk tiga pemain baharu untuk menggantikan tonggak sedia ada yang sudah lanjut usia;
1) Najib Tarif > Tommy Mawat
Bek berbisa Perak FC, Tommy Mawat. — Facebook/Perakfc
Pemain pertama yang boleh dipantau oleh Brunei DPMM FC ialah bek kiri Perak FC iaitu Tommy Mawat dengan menggantikan pertahanan kiri mereka, Najib Tarif susulan pemain tersebut kini sudah berusia 37 tahun.
Pada usia 29 tahun, Tommy memiliki kualiti fizikal dan teknikal yang mantap, dengan pengalamannya bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia pastinya memberi nilai tambah kepada Brunei DPMM FC pada musim 2024/2025.
Walaupun Najib berpengalaman dan sudah menyarung jersi Brunei DPMM FC sejak 2012, pemain tersebut kini dilihat mula menurun dari segi prestasi akibat faktor usia dan kecederaan kecil yang berulang.
Justeru itu, kepantasan dan keupayaan bertahan pemain kelahiran Belaga Sarawak tersebut mampu menutup ruang yang mungkin terbuka jika pemain senior Brunei DPMM FC berkenaan terus direhatkan atau bersara.
Brunei DPMM FC bagaimanapun menerima tentangan hebat daripada kelab Liga Super lain apabila Kuala Lumpur City juga dilaporkan berminat untuk membawa masuk pemai yang sudah tampil dalam 26 aksi domestik bersama Perak berkenaan.
2) Azwan Saleh > Hasbullah Abu Bakar
Hasbullah (tengah) juga dikhabarkan bakal menyertai Penang FC. — Facebook/KDAFC
Kem Sang Kenari juga mempunyai calon sesuai untuk kelab Brunei berkenaan. Pemain yang dilihat boleh dipertimbangkan mereka iaitu Hasbullah Abu Bakar untuk mengisi posisi tengah bertahan mereka pada musim baharu nanti.
Hasbullah yang kini berusia 30 tahun memiliki ketenangan dalam mengawal tempo permainan dan kecekapan dalam mematahkan serangan lawan, dua aspek penting dalam peranan sebagai defensive midfielder.
Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan boleh membantu Brunei DPMM FC mengimbangi tengah padang selepas prestasi tonggak mereka, Azwan Saleh dilihat semakin menurun ekoran faktor usia.
Pemain berusia 37 tahun itu sememangnya telah memberi sumbangan besar kepada Brunei DPMM FC selama lebih sedekad, namun dengan pasukan mahu membawa cabaran baharu di saingan Liga M, kehadiran Hasbullah boleh dianggap sebagai pelaburan berbaloi untuk mereka.
Untuk rekod, Hasbullah merupakan pemain yang berada di saat susah senang Sang Kenari apabila pemain itu sudah tampil dalam 25 perlawanan domestik dan turut merekodkan dua sumbangan gol serta satu bantuan jarigan pada musim ini.
3) Kristijan Naumovski > Zarif Irfan
Zarif merupakan penjaga gol pertama Pahang pada musim ini. — Facebook/sripahangfc
Penjaga gol Sri Pahang FC iaitu Zarif Irfan sebagai calon untuk menggantikan penjaga gol Brunei DPMM FC, Kristijan Naumovski dilihat satu langkah strategik yang wajar dipertimbangkan pasukan itu.
Zarif semakin menyerlah dalam saingan Liga Malaysia lagi-lagi selepas penjaga gol berusia 30 tahun itu masih memainkan peranan penting ketika membantu kelab Pantai Timur itu daripada dibolosi banyak di pentas akhir Piala Malaysia 2024/25.
Bekas penjaga gol Selangor FC berkenaan hanya dibolosi dua gol ketika tewas di tangan skuad Harimau Selatan. Untuk rekod, Zarif sudah merekodkan 24 penampilan domestik bersama Sri Pahang pada musim 2024/2025.
Walaupun Naumovski berpengalaman dan pernah menjadi tulang belakang pasukan, dilihat mula menunjukkan penurunan prestasi dari segi refleks untuk menjaga gawang akibat faktor usia yang kini berumur 36 tahun.
Manakala bagi Zarif yang kini sudah berusia 35 tahun, dia bukan sahaja memiliki refleks pantas dan kemampuan membaca pergerakan lawan dengan baik, tetapi juga boleh diberi kepercayaan dalam situasi bola mati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram