
TINDAKAN seorang penunggang wanita merakam ibunya yang dipercayai hampir pitam ketika membonceng motosikal baru-baru ini menimbulkan respon pelbagai dalam kalangan pengguna media sosial.
Rakaman yang dimuat naik di akaun TikTok nanie_arif itu, menunjukkan wanita berkenaan memegang telefon pintar sambil merakam situasi cemas melibatkan ibunya yang kelihatan tidak bermaya di atas motosikal.
Difahamkan, kejadian pada 28 Mac lalu itu berlaku ketika dalam perjalanan pulang selepas warga emas tersebut menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan.
BACA LAGI: Hilang arah pemergian ibu, wanita Penanti bangkit berniaga, anak sulung kena kuat
Wanita itu memberitahu, beliau terpaksa bertindak memantau pergerakan ibunya melalui telefon tersebut sambil menunggu bantuan tiba.
"Balik klinik, mak terkulai. Sambil peluk aku atas motor. Masa ini cuma mampu pantau mak melalui telefon sambil tunggu orang datang bantu.
"Takut sangat mak jatuh, saya peluk lengan dia erat," tulis pemilik akaun itu di ruangan kapsyen.
Mereka kemudian dibantu penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian dan difahamkan kesihatan ibu wanita itu juga kini sudah berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan di hospital.
Tindakan wanita tersebut bagaimanapun mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak beranggapan beliau tidak sepatutnya membuat rakaman ketika kejadian, sebaliknya perlu mencari alternatif lain untuk menyelamatkan ibunya.
Bagaimanapun menurut pengguna dengan nama akaun Cikmisi, rakaman seperti itu berupaya membantu kakitangan kesihatan untuk mendapatkan maklumat berkaitan pesakit.
"Sebagai staf kesihatan, sebenarnya rakaman macam ini membantu jika kami memerlukan info tambahan sebelum apa-apa terjadi atau untuk faham keadaan sebenar pesakit.
"Jangan menghentam tanpa mengetahui perkara sebenar," ujarnya.
Kongsi seorang lagi pengguna akaun TikTok, Ajai, kebanyakan pengamal kesihatan menyarankan ahli keluarga atau rakan untuk merakam setiap pergerakan pesakit sewaktu dalam kesakitan.
"Ini boleh jadi bahan bukti dan mudah untuk doktor nak tahu keadaan sebenar dia (pesakit)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram