
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mencetuskan kekecohan apabila tersekat di dalam mesin basuh.
Kejadian yang berlaku di Kunshan, wilayah Jiangsu, China itu bermula apabila ibu mangsa memarahinya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah tepat pada masa.
Dalam keadaan marah dan kecewa, kanak-kanak berkenaan bertindak memanjat masuk ke dalam mesin basuh jenis muatan atas tanpa disedari ibunya.
BACA LAGI: Pelajar serang guru di ruangan komen hanya kerana kerja sekolah
BACA LAGI: Bimbang kerja sekolah tak siap, sanggup bawa buku teks ke SNBJ demi Harimau Malaya
Namun, tindakan luar biasa itu bertukar cemas apabila budak tersebut menyedari dirinya tersekat dan tidak dapat bergerak.
Usaha ibu untuk mengeluarkan anaknya sendiri gagal, menyebabkan beliau terpaksa menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kanak-kanak tersebut dalam keadaan menangis dek menahan kesakitan.
Oleh kerana ruang yang sempit dan risiko kecederaan jika ditarik keluar secara paksa, pasukan penyelamat membuat keputusan untuk membuka mesin basuh tersebut.
Bagi memastikan keselamatan mangsa, mereka menutup badannya dengan selimut sebelum membuka bahagian luar mesin menggunakan pemutar skru.
Kemudian, mereka menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong kerangka mesin dengan teliti.
Sepanjang proses menyelamat yang mengambil masa 16 minit, pasukan bomba terus menenangkan mangsa dengan kata-kata semangat agar beliau terus kuat dan tidak panik.
Kanak-kanak itu akhirnya berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan, sebelum dibawa ke katil untuk berehat.
Walaupun tidak diketahui sama ada ibu dan anak perempuan itu telah berdamai selepas insiden tersebut, kejadian tersebut menarik perhatian ramai dan menjadi tular di media sosial tanah besar China. Video berkaitan insiden itu meraih lebih 100,000 tanda suka.
Difahamkan, kejadian seperti itu bukan yang pertama berlaku di China. Pada Mac lalu, seorang budak lelaki berusia empat tahun di Shandong tersekat kepalanya pada sebuah patung ketika berjalan-jalan di taman.
Pasukan bomba berjaya membebaskannya selepas 10 minit tanpa merosakkan patung berkenaan.
Manakala pada Februari lalu, seorang budak lelaki berumur 12 tahun di Haikou turut mengalami nasib sama apabila kepalanya tersekat di pagar semasa cuba mengambil jalan pintas pulang ke rumah untuk makan malam selepas sekolah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram