'Sampai bila Pahang mahu berada di takuk lama?'


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Skuad Tok Gajah mengalami satu lagi kekalahan dalam Liga Super ketika berdepan Kuching City FC. — Facebook/Sri Pahang FC

KEKALAHAN kesembilan dialami Sri Pahang FC dalam kempen Liga Super musim ini apabila mereka tewas 0-2 kepada Kuching City FC di laman sendiri pada Selasa.

Perlawanan yang diadakan selepas ia ditangguhkan akibat hujan lebat pada November itu memaparkan satu lagi persembahan mengecewakan daripada anak-anak buah Fandi Ahmad.

Keputusan itu menyaksikan kelab Pantai Timur berkenaan tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super yang sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok tiga pasukan tercorot.

BACA LAGI: Hubungan kekal utuh, 'Pistol JDT', Orang Besi Pahang antara bekas pemain rajin ikuti perkembangan kelab

BACA LAGI: Enggan berputih mata, Pahang hantar rayuan tarik penggantungan Kpah Sherman

Skuad Tok Gajah ditundukkan Kuching City FC dalam aksi Liga Super pada Selasa. Facebook/Sri Pahang FC

Kecewa dengan prestasi tidak menentu tersebut, penyokong tampil meluahkan rasa kurang senang terhadap situasi semasa pasukan yang seperti tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengubah nasib skuad Tok Gajah.

"Pihak pengurusan sampai bila mahu duduk di takuk lama dan menjadi pasukan lemah? Belajarlah dan contohilah kelab yang berjaya dan maju ke hadapan sekarang. Kami sebagai penyokong amat kecewa kalau beginilah keputusan dan cara permainan pasukan.

"Jika tak mampu ubah pasukan menjadi lebih baik, tolonglah berundur dengan cara terhormat sebelum keadaan menjadi lebih parah. Tolonglah dengar suara penyokong, janganlah hanya pekakkan telinga," kata Amier Gusai.

"Punah-ranah dah pasukan ini sebenarnya, pengurusan acuh tak acuh dan pihak kejurulatihan sudah ketandusan idea baharu dengan moral pemain sudah jatuh disebabkan gaji sangkut. Nak harapkan apa lagi?" kata Azili Ismail.

"Pihak pengurusan perlu ambil tanggungjawab penuh, letaklah jawatan. Beri kepada muka baharu yang ada perancangan jauh dan lebih bagus berbanding apa yang ada sekarang.

created by InCollage

Nasib dialami skuad Tok Gajah di luar padang sudah diketahui ramai pihak ketika ini. Facebook/Sri Pahang FC

"Buat pemilik Sri Pahang FC, jika anda mahu menaikkan bola sepak negeri dan mahu peminat berikan sokongan penuh, tukarlah individu yang ada dalam badan pengurusan semasa," kata Mohd Amry.

Kemelut pengurusan skuad Tok Gajah bukanlah perkara asing musim ini apabila laporan mengatakan pemain sudah tidak menerima bayaran gaji buat beberapa bulan lamanya.

Meskipun berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia, masalah dialami di luar padang membuatkan penyokong kurang bersemangat untuk hadir bagi memberi sokongan.

Sekiranya hal itu berterusan, terdapat kemungkinan pasukan tersebut tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan dengan khabar angin tersebut sudah bertebaran di media sosial sejak beberapa bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram