Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Ketajaman Nwakeme di depan gol berjaya dihidu Angers SCO yang mendapatkan khidmatnya selepas meninggalkan Pahang FA.

HARIMAU Malaya bakal tampil dengan kelainan selepas skuad kendalian Peter Cklamovski akan mendapat sentuhan pemain naturalisasi baharu dan kemasukan bintang warisan yang beraksi di Eropah.

Seperti yang dimaklumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beberapa pemain import dan warisan baharu bakal menyertai revolusi Harimau Malaya di bawah kendalian Cklamovski.

Bergson da Silva antara calon yang sudah membina reputasi dalam Liga Malaysia dengan menjuarai gelaran hatrik Liga Super dan Piala FA.

BACA LAGI: 'Bergson jauh lebih baik', ramai kurang setuju bintang The Cats diberi status naturalisasi

BACA LAGI: Bekas orang kuat bola sepak Vietnam ingatkan Malaysia 'sedar diri', projek naturalisasi satu perjudian

Pemain berusia 34 tahun itu juga melengkapkan trofi kejohanan domestik apabila turut menjuarai Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Bersama JDT, Bergson telah menjaringkan 140 gol dan 28 assist dalam 134 perlawanan di semua kejohanan disertai Harimau Selatan.

Harimau Malaya bernasib baik berpeluang menggunakan khidmat Bergson yang sudah terbukti dalam kancah bola sepak tempatan.

Namun adakah anda tahu, ada beberapa pemain import sudah mencipta reputasi dalam Liga Malaysia namun tidak berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya.

Meskipun sudah beraksi di Liga Malaysia selama lima tahun, tiga pemain import tidak dibenarkan menyertai Harimau Malaya.

Majoriti senaraikan tiga pemain import yang sudah membina reputasi mereka di Liga Malaysia tetapi tidak boleh dinaturalisasikan:

Sony (kanan) pernah beraksi bersama Haiti dalam kejohanan rasmi FIFA.

1. Sony Norde

Penyokong Melaka, Terengganu dan Kedah pastinya cukup mengenali dengan corak permainan Sony Norde yang sentiasa mempamerkan aksi memukau dengan gelecekan dan skil individu tinggi.

Mula beraksi di Liga Malaysia sejak 2020, tahun ini lengkap lima tahun Sony menetap di Malaysia dengan beraksi bersama tiga buah kelab.

Namun begitu, Sony memilih untuk meninggalkan Malaysia selepas kelab terakhir diwakilinya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengalami masalah tunggakan gaji.

Walaupun Sony kekal beraksi di Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih tidak boleh menaturalisasikan pemain berusia 36 tahun itu kerana dia pernah menyarung jersi negara kelahiran, Haiti di kejohanan rasmi FIFA.

Bekas pemain sayap Kedah itu melakukan penampilan sulung bersama Haiti dalam Kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Costa Rica pada 2008.

Kini Sony beraksi di Indonesia bersama Malut United dan sudah tampil dalam tujuh penampilan Liga 1 Indonesia.

Aksi debut Kpah bersama Liberia dalam kejohanan rasmi FIFA diakhiri dengan kemenangan.

2. Kpah Sherman

Boleh dilabel sebagai pemain import kedua terbaik di belakang Bergson, Kpah Sherman telah beraksi di Liga Malaysia sejak 2017.

Tahun ini merupakan tahun kelapan Kpah beraksi dalam Liga Malaysia dengan enam kelab domestik pernah mendapatkan khidmatnya.

Rekod 69 jaringan dan 17 'assist' sudah membuktikan Kpah mempunyai kualiti sebagai penyerang di Liga Malaysia.

Sama seperti Sony, Kpah juga tidak boleh menyarung jersi Harimau Malaya kerana telah beraksi bersama Liberia di kejohanan rasmi FIFA.

Aksi debut Kpah bersama Liberia ialah ketika menewaskan Lesotho 1-0 dalam Kelayakan Piala Afrika 2015.

Kini Kpah masih kekal beraksi dalam Liga Malaysia dengan menyertai Sri Pahang FC sejak 2023 dan telah merekodkan 23 gol dalam 53 penampilan.

3. Dickson Nwakeme

Bila menyebut nama Dickson Nwakeme, pastinya penyokong-penyokong Liga Malaysia teringat akan logo Kelantan dan gambar dia diasak pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) sehingga menampakkan tubuhnya yang sasa.

Kehadiran Nwakeme pada 2013 di bumi Kelantan mengubah suasana Liga Malaysia apabila dia berjaya menjadi penyerang import berbisa pernah dimiliki Kelantan FA (kini dikenali TRW Kelantan) selepas Mohamad Ghaddar.

Semusim bersama Kelantan, Pahang FA (kini dikenali Sri Pahang) terus menyambar khidmat Nwakeme atau diberi jolokan sebagai 'Orang Besi' pada hujung 2013.

Ketajaman Nwakeme di depan gol berjaya dihidu oleh kelab Perancis, Angers SCO yang mendapatkan khidmatnya selepas meninggalkan Pahang FA.

Bekas pemain berusia 39 tahun itu sekali gus tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya kerana tidak melengkapkan syarat FIFA beraksi di Malaysia selama lima tahun.

Selain itu, ketika era Nwakeme, FAM tidak berminat menggunakan khidmat naturalisasi meskipun ada beberapa import lain yang ternyata boleh membantu Harimau Malaya ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram