
AMALAN mampan dalam perladangan kelapa sawit semakin mendapat perhatian sebagai langkah positif untuk menjadikan kawasan itu bukan sahaja sebagai sumber ekonomi, tetapi juga sebagai lokasi perlindungan pelbagai spesies flora dan fauna.
Menyedari kepentingan tersebut, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan FGV Holdings Berhad (FGV) melancarkan kajian bertajuk 'Oil Palm Plantation Landscape as Wildlife Refuge: A Way Forward for Wildlife-Friendly Plantations’ (Landskap Ladang Kelapa Sawit Sebagai Perlindungan Hidupan Liar: Langkah Ke Arah Ladang Mesra Hidupan Liar).
Dengan peruntukan dana lebih RM600,000 untuk jangka masa tiga tahun, kajian itu bertujuan menyediakan data asas komprehensif mengenai biodiversiti dalam landskap ladang kelapa sawit tertentu.
BACA LAGI: MPOGCF sumbang 15 'Perangkap Wahab' kepada Perhilitan, bantu selamatkan harimau belang terancam
BACA LAGI: MPOGCF komited lindungi industri sawit, isu alam sekitar dan hidupan liar
Antara alatan digunakan bagi merekod hidupan liar di kawasan ladang kelapa sawit.
Pada masa sama, inisiatif itu antara lain turut bermatlamat untuk mencapai pengurangan konflik antara manusia dan hidupan liar, serta memulihara kepelbagaian biologi di kawasan ladang terbabit.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, sebanyak empat ladang kelapa sawit milik FGV telah dipilih sebagai kawasan kajian iaitu FGV Lepar di Pahang; FGV Setiu di Terengganu; FGV Aring di Gua Musang, Kelantan dan FGV Tenggaroh di Johor.
Setiap kawasan kajian dipilih berdasarkan tiga jenis landskap ladang sawit berbeza, termasuk ladang tanpa hutan (monokultur), ladang bersebelahan hutan, dan ladang dengan tompok hutan (HCV).
"Projek penyelidikan ini dapat membantu industri kelapa sawit Malaysia menghasilkan ladang mampan yang mesra biodiversiti dan memberi panduan kepada pengurusan ladang," kata Hairulazim.
Langkah kemampanan mesra hidupan liar
Sementara itu, Ketua Penyelidikan UKM, Profesor Madya Dr Farah Shafawati Mohd Taib berkata, perangkap digunakan bergantung kepada jenis haiwan.
"Perangkap kamera digunakan untuk merekod gambar haiwan, terutamanya mamalia besar hingga sederhana.
"Perangkap sangkar pula bagi menangkap mamalia dan sesetengah reptilia seperti biawak.
"Selain itu, jaring kabut digunakan untuk menangkap burung dan kelawar," katanya.
Pasukan penyelidik memasang perangkap bagi tujuan kajian kehadiran spesies flora dan fauna di ladang kelapa sawit.
Farah berkata, perangkap lubang besar pula digunakan untuk menangkap amfibia, reptilia dan tupai.
Bagi serangga, beliau menjelaskan bahawa beberapa teknik digunakan antaranya perangkap lubang kecil, perangkap dulang kuning, perangkap cahaya dan tangkapan tangan.
"Untuk flora, kuadrat bulat dengan saiz berbeza sekitar 1 meter (m), 10m dan 20m digunakan mengikut jenis tumbuhan.
"Sampel daun dari setiap pokok akan dikumpul sebelum pengecaman selanjutnya," ujarnya.
Menurut Farah, bagi tinjauan secara visual, pasukan penyelidik kebiasaannya akan turun ke lapangan pada waktu malam.
Pelbagai jenis perangkap digunakan di bawah kajian tersebut bergantung kepada jenis haiwan.
Menerusi proses tersebut, mereka akan turut cuba mencari anak sungai kecil yang menjadi habitat bagi katak dan kodok.
"Kira-kira 20 spesies serangga yang kita dapat dalam hanya satu malam, jadi ia menandakan habitat ini sangat baik untuk serangga tersebut," ujarnya.
Menerusi kajian tersebut, antara spesies kerap direkodkan ialah Burung Merbah Kapur, Merbah Kepala Hitam, Burung Pekaka, Punai Tanah, Murai Kampung, Murai Batu, Kelicap Ranting, Burung Hantu Punggur, Mengkarung, Tupai Muncung Besar dan Musang Pulut.
"Secara keseluruhannya, biodiversiti amat kaya dan pelbagai di semua ladang kelapa sawit bersebelahan dengan hutan diikuti oleh tompok hutan atau apa yang kita panggil nilai pemuliharaan tinggi, tetapi kurang di kawasan monokultur.
"Data kami juga mengenal pasti banyak spesies terancam. Sebagai contoh, kami telah menemui harimau, gajah, beruang matahari, kijang dan lain-lain.
Bagi tinjauan secara visual, pasukan penyelidik kebiasaannya akan turun ke lapangan pada waktu malam.
"Terdapat kesan limpahan (spillover effect) hidupan liar di luar hutan ke dalam ladang kerana jarak yang dekat dan menambah sumber makanan hidupan liar dari kawasan ladang," jelas Farah.
Pengawal Wilayah (Regional Controller) FGVPM Gua Musang, Vijay Venkatachalam berkata, penemuan di bawah inisiatif itu meyakinkan pihaknya bahawa langkah kemampanan dilaksanakan seperti pengekalan zon riparian, amalan pengurusan perosak bersepadu dan galakan amalan hijau adalah berkesan dan mesra hidupan liar.
Ujarnya, amalan pertanian baik telah dilaksanakan dengan berkesan di kawasan sensitif alam sekitar seperti tanah lembap manakala kawasan curam pula diklasifikasikan sebagai kawasan pemuliharaan.
Untuk rekod, FGV Aring Gua Musang memiliki keluasan lebih kurang 23,470 hektar.
Sementara itu, Hairulazim berkata, projek dijalankan itu merupakan mesej jelas kepada seluruh dunia mengenai komitmen Malaysia untuk memelihara dan melindungi alam sekitar dan menjadikan minyak sawit sebagai industri mampan.
Tegasnya, ia selaras dengan prinsip kesejahteraan masyarakat ekonomi dan alam sekitar yang turut merupakan rangka kerja 3P yang memberikan penekanan terhadap people (manusia), planet (alam sekitar) dan profit (keuntungan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram