Enggan berputih mata, Pahang hantar rayuan tarik penggantungan Kpah Sherman


  • Podium
  • Khamis, 13 Feb 2025

Khidmat Kpah diperlukan bagi membolehkan Tok Gajah menembusi benteng pertahanan JDT dalam perlawanan akhir. — Facebook/Sri Pahang FC

CABARAN cukup besar dihadapi Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 memandangkan standard mereka berada jauh di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kedudukan semasa dalam Liga Super sudah cukup untuk menceritakan situasi semasa kedua-dua pasukan dengan 39 mata membezakan kedua-dua pasukan memasuki penghujung kempen.

Malah, moral pasukan juga berpihak kepada skuad Harimau Selatan dengan khabar angin ketika ini mengatakan masalah tunggakan gaji serius sudah melanda kem Tok Gajah.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 3 tahun, Kpah Sherman masih kempunan tunjuk 'taring' aksi final lawan JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sanggup hilang Kpah di pentas final, Fandi Ahmad sedia buat rayuan

470938651_18478826344031124_1991472885526977693_n

Kpah (kiri) merupakan bintang skuad Tok Gajah dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

Nasib malang terus melanda kelab Pantai Timur itu apabila laporan menyatakan seramai dua tonggak pasukan tidak akan dapat diturunkan dalam aksi yang dijangka berlangsung pada April.

Mereka merupakan Manuel Hidalgo yang merupakan pemain pinjaman dari JDT sementara kapten mereka, Kpah Sherman juga terpaksa disisihkan kerana sudah mengumpul dua kad kuning.

Ketiadaan kedua-dua bintang import tersebut pasti akan menyulitkan lagi misi sukar Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir dengan penyokong mereka enggan meletakkan harapan tinggi.

Bagaimanapun, bagi memastikan skuad Tok Gajah tidak begitu tempang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Datuk Mohd Suffian Awang tampil membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

470900544_18478605262031124_315038767926105622_n

Suffian Awang menjelaskan rayuan sudah dikemukakan pihaknya. — Facebook/Sri Pahang FC

"Sri Pahang FC sudah melakukan permohonan kepada badan induk itu untuk memberi pertimbangan sewajarnya berhubung status Kpah yang mengutip dua kad kuning pada saingan Piala Malaysia. Menerusi surat rayuan ini kelab berharap Sherman dibenarkan bermain pada aksi final berdepan JDT," katanya.

Sebelum ini, pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad sudah meletakkan harapan supaya pemain kebangsaan Liberia itu dapat diturunkan dengan menegaskan kelab berkenaan akan membuat rayuan.

Penjelasan daripada Suffian itu sekali gus membuktikan permohonan sudah dibuat, namun FAM masih perlu memberi keputusan sama ada penyerang itu akan dapat diturunkan atau sebaliknya.

Dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Kpah sudah menjaringkan tiga gol dalam enam penampilan, termasuk jaringan kemenangan ketika berdepan Sabah FC dalam separuh akhir kedua mereka.

Jadi, ketiadaannya sudah tentu amat dirasakan dengan seorang lagi penyerang import, Mykola Agapov gagal memberi impak hebat dalam pasukan sejak hadir pada awal musim lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram