
KEBERGANTUNGAN kelab-kelab Liga Super terhadap pemain import bukanlah satu perkara janggal kerana saban musim, ada sahaja nama-nama baharu yang dibawa masuk.
Seperti kebiasaan, ada dalam kalangan mereka yang tidak membawa untung terhadap pasukan, malah mempunyai hubungan renggang dengan penyokong atas sebab persembahan kurang memuaskan itu.
Namun, ada pula pemain import yang berada dalam kategori sebaliknya kerana cukup akrab dengan penonton meskipun sumbangan dalam pasukan tidaklah begitu memuaskan.
BACA LAGI: Buktikan masih berbisa, Alvaro ikut jejak Bergson, 2 lagi import JDT ledak gol debut
BACA LAGI: [VIDEO] Nasib malang buat JDT, Mesa lengkapkan 'hatrik' import cedera lepas aksi debut
Lambakan pemain import sudah mewarnai arena Liga Super sejak diperkenalkan.
Kesanggupan mendalami budaya tempatan selain menyantuni pengikut setia pasukan menjadikan seseorang pemain luar negara itu diingati selepas bertahun-tahun meninggalkan kelab masing-masing.
Hubungan rapat itu juga dibuktikan apabila mereka masih mengikuti perkembangan pasukan lama dengan memberi mesej-mesej sokongan menjelang aksi penting menerusi akaun media sosial.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga bekas import Selangor, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sempat meninggalkan ucapan maju jaya dengan ia menceritakan keakraban antara satu sama lain.
1. Dickson Nwakaeme
Sehingga hari ini, nama penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme masih meniti bibir penyokong Tok Gajah kerana keunggulannya bersama pasukan itu sukar diulangi import lain, apatah lagi dilupakan peminat.
Setelah membantu kelab Pantai Timur itu menjulang Piala FA dan Piala Malaysia 2014, pemain terbabit kemudian sekali lagi pulang ke pangkuan kelab terbabit lima tahun kemudian yang tidak memberi impak seperti mana diharapkan.
Bagaimanapun, legasi ditinggalkan Nwakaeme buat Pahang berterusan sehingga hari ini apabila dia tampil memberi sokongan kepada pasukan tersebut yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25.
Dickson masih mengikuti perkembangan skuad Tok Gajah selepas tujuh tahun meninggalkan kelab itu.
Dalam satu hantaran di laman Instastory peribadinya, penyerang bertubuh sasa yang terkenal dengan julukan Orang Besi Sri Pahang itu percaya sejarah akan berulang buat skuad Tok Gajah dalam aksi menentang JDT itu.
Pertembungan tersebut sememangnya menarik buat Dickson kerana dalam final Piala Malaysia 11 tahun lalu, Pahang turut berdepan lawan yang sama dengan pemain itu meledak dua gol yang membolehkan mereka muncul juara.
Meskipun kelebihan ketika ini jelas berpihak kepada JDT, ucapan diberikan bekas tonggak Tok Gajah itu diharapkan dapat membakar semangat anak-anak buah Fandi Ahmad.
2. Umar Eshmurodov
Keputusan mengejutkan diambil bek kebangsaan Uzbekistan, Umar Eshmurodov yang secara tiba-tiba meninggalkan Selangor FC pada penghujung Disember untuk pulang ke negara asalnya.
Tindakan tersebut masih menimbulkan pelbagai persoalan sehingga hari ini memandangkan pemain pertahanan terbabit beraksi dengan cemerlang sejak tiba pada awal musim lalu.
Malah, hubungannya dengan penyokong juga cukup baik kerana sepanjang beraksi buat skuad Gergasi Merah, dia membina persefahaman cukup baik dengan rakan sepasukan seperti Safuwan Baharudin dan Harith Haiqal.
Umar memberi kata-kata semangat buat bekas rakan sepasukannya.
Jadi, tidak hairanlah apabila Umar masih mengikuti perkembangan kelab Lembah Klang itu memandangkan baru-baru ini, dia memberi ucapan maju jaya menjelang perlawanan akhir MFL Challenge Cup.
Dalam satu hantaran di Instastory, pemain berusia 32 tahun itu memberikan kata-kata semangat berserta sekeping foto memaparkannya bersama pemain Selangor FC lain selepas perlawanan difahamkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Untuk rekod, selepas meninggalkan Selangor FC, Umar mengambil keputusan menyertai FC Nasaf buat kali keempat dengan mereka kini menduduki tangga kelapan Liga Super Uzbekistan.
3. Jose Muriel Orlando
Seperti dikatakan di atas, keberadaan import dalam pasukan Liga Super bukanlah sesuatu perkara janggal dengan JDT merupakan antara kelab yang kerap membuat pertukaran terhadap pemain luar negara setiap musim.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan utuh bersama pasukan meskipun tidak pernah berada dalam skuad utama kerana hanya beraksi buat pasukan simpanan.
Peluang terhad itu bukanlah penghalang bagi pemain-pemain import itu daripada terus mengikuti perkembangan skuad Harimau Selatan dengan bekas pemain JDT II, Juan Muriel Orlando merupakan contoh terbaik.
Orlando (tengah) antara bekas pemain yang memberi kata-kata semangat buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Menjelang aksi bersejarah pasukan pada kempen Piala AFC 2015, pemain yang terkenal dengan julukan 'Pistol' itu sempat memberikan ucapan maju jaya meskipun sudah dua tahun meninggalkan JDT.
Kata-kata semangat tersebut diuar-uarkan dalam satu hantaran rasmi di media sosial kelab yang membuktikan pasukan Selatan tanah air berkenaan cukup menghargai bekas pemainnya.
Ucapan tersebut jelas memberi tonik tambahan buat pasukan berkenaan apabila mereka berjaya muncul juara Piala AFC 2015 dengan rakan senegaranya, Leandro Velazquez meledak dalam perlawanan akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram