
SELANGOR FC berpeluang menebus kekecewaan dialami susulan penyingkiran awal daripada Piala Malaysia 2024/25 apabila mara ke pentas akhir MFL Challenge Cup berikutan kemenangan agregat 2-0 ke atas Penang FC.
Meskipun kejohanan itu tidak dipandang tinggi rata-rata penyokong, ia sedikit sebanyak dapat mengubati luka dialami disebabkan isu prestasi tidak menentu dialami skuad Gergasi Merah tersebut.
Pandangan berkenaan turut disokong pengendalinya, Katsuhito Kinoshi yang beranggapan anak-anak buahnya perlu memanfaatkan peluang tersebut demi membalas pengorbanan daripada peminat setia pasukan.
BACA LAGI: Kinoshi buktikan Selangor mampu dapat ‘result’ turunkan ramai bintang muda
Skuad Gergasi Merah memikul misi berat dalam aksi final MFL Challenge Cup musim ini. — Facebook/MFL
"Ia akan menjadi satu bentuk tekanan juga kepada pemain tetapi ia juga merupakan satu peluang untuk menggembirakan penyokong. Ini adalah tekanan bagi pemain profesional bola sepak. Saya juga beritahu kepada pemain agar menikmati perlawanan akhir ini sebagai finalis," ujar Kinoshi.
Di bawah bimbingan jurulatih dari Jepun itu, pasukan Lembah Klang itu menikmati beberapa keputusan memberangsangkan, termasuk tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Namun, kehadirannya masih belum direstui sebahagian penyokong Selangor FC memandangkan gaya permainan diterapkannya gagal mempamerkan sebarang perbezaan besar berbanding pengendali terdahulu, Nidzam Jamil.
Skuad Gergasi Merah akan bertemu juara bertahan MFL Challenge Cup, PDRM FC yang menempah tiket ke perlawanan akhir kali ini selepas mengecewakan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat separuh akhir.
Kedua-dua pasukan terikat dalam pertemuan terakhir mereka dalam saingan Liga Super. — Facebook/Selangor FC
Pasukan bimbingan P Maniam itu tidak boleh dipandang remeh Selangor FC memandangkan mereka memiliki reputasi untuk mencipta keputusan mengejut setiap kali berdepan lawan lebih hebat.
Malah, pada kali terakhir Selangor FC berdepan skuad Sang Saka Biru dalam saingan Liga Super, mereka yang berasa terlalu yakin akhirnya berputih mata apabila penyerang lawan, Shahrel Fikri menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.
Keputusan itu sudah tentu diharapkan dapat diperbaiki bagi skuad Gergasi Merah dengan kejayaan dalam MFL Challenge Cup setidak-tidaknya dapat menamatkan penantian menjulang trofi.
Perlawanan akhir tersebut akan dimulakan dengan aksi di Stadium MBPJ, Selangor pada 15 Februari sebelum pertembungan timbal balik di Stadium Selayang, Selangor seminggu selepas itu. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram