Masa depan bola sepak Sabah selamat, pelapis 'keeper' dapat pujian ibu tonggak The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Aksi Nurdiana yang cemerlang menjalankan tugasnya walaupun beraksi bersama pasukan lelaki mencuri tumpuan penyokong. — Facebook/Rhino Football Academy

KEJAYAAN Sabah FC menjadi pasukan bola sepak wanita pertama negara melepasi pusingan kelayakan untuk mara ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) pada musim lepas.

Meskipun skuad The Rhinos sekadar mengutip satu mata dalam saingan peringkat kumpulan AWCL, ia masih menjadi kenangan manis buat Sumandak Sabah kerana pengalaman beraksi di peringkat tertinggi tidak boleh dijual beli.

Dengan kejayaan sebegitu, tidak keterlaluan untuk mengatakan negeri berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan merupakan 'kilang' untuk mencari lebih banyak pelapis dalam bola sepak wanita.

BACA LAGI: Dari Sabah ke pentas antarabangsa, Nurul Azurin menyerlah cipta 'clean sheet' pertama di Albania

BACA LAGI: Sudah tahu siapa pencabar, Sabah tunggu masa umum import aksi AWCL

Bukti Sabah boleh menjadi pengeluar besar kepada pemain bola sepak wanita negara dapat disokong dengan kehadiran 'ubi muda' yang beraksi sebagai penjaga gol di akademi Rhino Football Academy.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh Rhino Football Academy pada 28 Januari lepas, menyaksikan penjaga gol muda bernama Nurdiana Syafiqah yang cemerlang menjalankan tugasnya walaupun beraksi bersama pasukan lelaki.

Nurdiana membantu Pahang meraih pingat gangsa dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi saingan bola sepak wanita selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Ogos 2024.

"Aksi penjaga gol, Nurdiana Syafiqah yang diberi peluang 20 minit terakhir membantu pasukan menggantikan penjaga gol utama, Irfan.

"Nurdiana yang merupakan penjaga gol pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan merupakan pemenang pingat gangsa SUKMA 2024 beraksi cemerlang menyelamatkan banyak cubaan ke arah gawang pasukan," kata laman Facebook akademi itu.

20 minit yang diberikan kepada Nurdiana dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain muda itu dengan ada sebahagian penyokong melihatnya seolah-olah bekas penjaga gol Sabah, Nurul Azurin Mazlan.

Ia juga dipersetujui oleh ibu Nurul Azurin iaitu, Eita Anita Mazlan, apabila melihat penjaga gol berkenaan mirip seperti anak perempuannya yang kini beraksi bersama kelab Albania, KFF Vllaznia.

azurin

Aksi bertenaga Azurin membuktikan keunggulannya sebagai penjaga gol yang berwibawa terutamanya di pentas Eropah.

"Semoga terus cemerlang. Sekali pandang macam Azurin," kata Eita Anita pada ruangan komen Rhino Football Academy.

Dalam pada itu, Nurul Azurin terus mengukir kejayaan di Eropah apabila tampil cemerlang bersama KFF Vllaznia.

Dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung pada Jumaat minggu lalu, Azurin membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Buducnost tanpa bolos, sekali gus menunjukkan kehebatannya sebagai tembok kebal di gawang.

Untuk rekod, KFF Vllaznia merupakan kelab keempat dalam karier profesionalnya selepas beraksi bersama Misaka United (India), NK Osijek (Croatia) dan KFF Presingu (Kosovo), sekali gus menunjukkan perjalanan kariernya yang semakin berkembang dan cemerlang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram