
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
RANCAK diperbualkan mengenai kemerosotan penonton ke stadium untuk menghadiri perlawanan-perlawanan Liga Malaysia akhir-akhir ini pada ketika kebanyakan pasukan – kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC – seperti dipulaukan penyokong yang semakin lokek untuk membeli tiket.
Banyak sebab diutarakan oleh penganalisis bola sepak tempatan, antaranya kerana hanya ada satu atau dua pasukan yang dominan dalam saingan, tetapi merudumnya jumlah penonton ke stadium lebih berkat rapat dengan menjunamnya prestasi pasukan masing-masing.
Tinjauan secara rawak dengan merujuk kepada jumlah kehadiran yang dicatatkan flashscore.com menunjukkan jumlah penonton dalam sesetengah perlawanan tidak pun cukup untuk hasil jualan tiket bagi menampung sewa stadium dan kos elektrik bagi lampu limpah.
BACA LAGI: Fandi tuntut Sri Pahang kikis imej pakar seri untuk satu perlawanan Ahad ini
BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan
Fenomena kemerosotan penonton bukan pun satu perkara baharu, malah sudah menjadi lumrah semakin lama musim berjalan apabila cabaran sesebuah pasukan dilihat semakin longlai dan menjadi ‘lubuk’ buat pasukan-pasukan lawan meraih mata.
Ambil contoh pasukan di tangga kedua terbawah liga, Negeri Sembilan FC. Enam perlawanannya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mencatatkan purata kehadiran kurang daripada 500 orang, dengan pertemuannya dengan Sri Pahang FC yang dimenangi mereka 2-1 pada 10 Januari lalu cuma dihadiri 346 orang.
Tidak hairanlah sudah kerap disaksikan di layar televisyen ketika siaran langsung betapa stadium berkenaan yang mempunyai kapasiti 45,000 tempat duduk lengang seolah-olah ia berhantu – hakikat yang boleh diperjelaskan oleh skuad Rusa itu baru menang dua daripada 17 perlawanannya, seri tiga dan tewas 12 kali.
Perubahan drastik yang dilakukan pengurusan NSFC turut menyaksikan ketua jurulatih, Azzmi Aziz, direhatkan berkuatkuasa 15 Ogos dan tempatnya digantikan oleh K. Nanthakumar tetapi penyokong belum dapat diyakinkan nampaknya.
Tapi Negeri Sembilan FC bukanlah pasukan dengan catatan terendah penonton, sebaliknya ‘penghormatan’ itu menjadi milik PDRM FC yang cuma ditonton 117 orang ketika melayani kunjungan Kuching City FC ke Stadium Selayang, 11 Januari lalu.
Aksi antara Negeri Sembilan berdepan Sabah di Paroi pada minggu 19 yang hanya dihadiri 537 peminat. — Facebook/NSFC
Dikenali bukan sebagai pasukan yang memiliki gerombolan pasukan penyokong yang besar, The Cops sudah kerap mencatat kehadiran di bawah 1,000 orang -- 631 ketika menentang Penang FC (25 Mei), 364 menentang KL City FC (16 Ogos), 416 menentang Sabah FC (21 September), dan 170 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC (18 Disember).
Mengikuti rapat dengan jumlah penonton terendah ialah pasukan di tangga terbawah, KDN FC, yang cuma ditonton 187 orang ketika berhadapan Terengganu FC, 4 Disember lalu.
Stadium Bandaraya, Pulau Pinang – gelanggang yang dahulunya sering riuh-rendah dengan gema sorakan – turut tidak terkecuali mengalami kemerosotan penonton. Daripada jumlah tertinggi 8,122 orang ketika tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 22 Jun, jumlah itu kemudian merosot serendah 448 orang sewaktu menundukkan PDRM FC 2-0 pada 4 Disember.
Menjunamnya Penang FC ke kelompok tiga terbawah hingga menyaksikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli direhatkan daripada tugas ketua jurulatih pada 1 November lalu, merentap minat penyokong untuk ke stadium.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa, dipetik sebagai merumuskan saingan Liga Malaysia dilihat semakin tidak kompetitif. Ditambah terdapat pasukan yang terlalu dominan, suasana liga semakin suram sehingga membuatkan peminat mengambil langkah tidak hadir ke stadium.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa.
"Kita perlu melihat kualiti permainan antara pasukan tuan rumah ataupun pasukan pelawat. Dalam liga sendiri, sepatutnya tidak ada pasukan yang terlalu dominan (hingga pasukan lain) menjadi belasahan. Tapi itu yang kita lihat dalam lima hingga enam tahun kebelakangan ini, terlebih-lebih lagi selepas Covid-19.
"Itu menyebabkan penonton tuan rumah tidak ada satu daya tarikan untuk mereka hadir kerana mereka tahu pasukan yang mereka sokong tidak dapat memberi tentangan seperti yang diharapkan. Jadi, kita tidak ada keseimbangan antara pasukan-pasukan yang bertanding.
"Malah isu gaji yang tidak dibayar atau tertunggak juga menjadi punca utama. Sebagai seorang manusia, jika gaji tidak bayar, itu membuatkan pekerja atau pemain itu mengambil sikap sambil lewa untuk melakukan sesuatu perkara," katanya dipetik Harian Metro.
Sebagai mengeyakan pandangannya itu, statistik kehadiran penonton buat dua pasukan teratas liga – JDT dan Selangor FC – kekal tinggi seiring dengan kejayaan yang dicipta dalam perlawanan demi perlawanan.
JDT, terutamanya, mencatat purata 15,985 penonton dalam tujuh perlawanannya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, dengan pertemuan menentang Terengganu FC yang dimenangi 4-0 pada 26 Julai lalu dihadiri 21,365 orang.
Pertemuan JDT menentang Terengganu pada 26 Julai lalu dihadiri 21,365 orang. — Facebook/JDT
Selangor FC pula empat kali mencatat kehadiran melebihi 10,000 penonton di Stadium MBPJ, Kelana Jaya ketika melayani kunjungan KDA FC (18 Mei), Negeri Sembilan FC (26 Mei), Perak FC (23 Jun) dan JDT (27 Okt), dengan jumlah terendah 5,422 orang dicatat ketika menewaskan Kuching City FC, 13 September lalu.
Peningkatan terbesar bagaimanapun tidak menjanjikan peningkatan jumlah penonton juga seperti didapati oleh Kuching City FC – pasukan di tangga kedua terbawah musim lalu – yang melonjak ke kelompok enam teratas musim ini.
Dengan purata 1,832 orang bagi setiap perlawanannya di Stadium Negeri, Kuching, tentunya ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, mengharapkan lebih ramai lagi akan menyokong mereka bagi baki liga sehingga pertengahan April ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram