
APALAH makna sambutan Tahun Baharu Cina tanpa pemberian angpau yang merancakkan lagi suasana perayaan itu, lebih-lebih lagi buat kanak-kanak yang tersenyum riang setiap kali menerimanya.
Namun, pemberian duit dalam sampul berwarna merah tersebut bukan sahaja khas buat si kecil kerana baru-baru ini, pemain Penang FC turut menikmatinya dalam satu sambutan majlis rumah terbuka.
Hal itu dikongsikan dalam satu hantaran media sosial kelab memaparkan pemain seperti Dylan Wenzel-Halls, Rafael Vitor dan Adib Raop tersenyum riang dalam majlis anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
BACA LAGI: Jangan sakan kongsi kod QR termasuk demi 'angpau', anda terdedah kepada 3 risiko
BACA LAGI: Lelaki menyamar jadi staf demi ‘angpau’, MBPP buat laporan polis
Pemain skuad Harimau Kumbang dalam majlis rumah terbuka anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang. — Facebook/Penang FC
Pemberian angpau tersebut pasti membawa kegembiraan buat anak-anak buah Wan Rohami Wan Ismail dengan ada penyokong berharap perasaan positif itu juga dapat ditampilkan di atas padang.
Pengurniaan wang bersempena Tahun Baharu Cina itu tidak terhenti di situ apabila pemain sebuah lagi kelab Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga menerima berita baik sedemikian.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook kelab pada Sabtu, kelihatan seorang penyokong Sang Kenari menghulurkan angpau kepada pemain selain sempat menyuntik semangat buat anak-anak buah Victor Andrag.
"Persiapan akhir semalam (Jumaat) ditamatkan dengan perjumpaan bersama salah seorang penyokong Hijau Kuning, Conway Lian dan keluarga menyampaikan kata-kata semangat untuk perlawanan separuh akhir MFL Challenge Cup serta sempat memberi angpau kepada semua pemain dan pegawai," tulisnya.
Meskipun jumlah diberikan tidaklah begitu besar, ia sedikit sebanyak mampu melakar senyuman buat pemain dan pegawai KDA FC yang mengalami tunggakan gaji buat beberapa bulan lamanya.
Conway (tengah) sempat mengambil gambar bersama pemain dan pegawai Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Selain itu, kehadiran penyokong terbabit membuktikan sokongan mereka tidak luntur meskipun ketika ini, skuad Sang Kenari berada dalam kedudukan meruncingkan dalam Liga Super.
"Sebagai anak Kedah, ini adalah sedikit sumbangan bagi pasukan kesayangan kita. Masa ini adalah masa yang genting dan memenuhi cabaran untuk pasukan kita.
"Harap malam ini (Sabtu) mengalu-alukan semua penyokong KDA FC memenuhi Stadium Darul Aman, Kedah bagi semangat kepada pasukan kesayangan kita," tulis Conway di ruangan komen.
Pasukan bimbingan Victor Andrag itu akan bertemu PDRM FC di laman sendiri selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam pertembungan pertama di Stadium Selayang, Selangor minggu lalu.
Sekiranya mereka mampu melangkah ke pusingan akhir MFL Challenge Cup, terdapat harapan kejayaan itu mampu mengubati luka penyokong yang masih tidak dapat menerima keadaan kelab berkenaan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram