Lelaki menyamar jadi staf demi ‘angpau’, MBPP buat laporan polis


  • Primer
  • Khamis, 26 Jan 2023

MBPP mengesahkan lelaki itu bukan kakitangan mereka.

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat laporan polis berhubung seorang lelaki menyamar sebagai petugas pembersihan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dipercayai untuk meminta ‘angpau’ daripada penduduk di kawasan Batu Lancang, Pulau Pinang baru-baru ini.

MBPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dan tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyamar sebagai kakitangannya dalam apa jua keadaan.

"Susulan aduan yang diterima daripada orang awam berhubung kejadian seorang lelaki yang memakai pakaian seragam mbpp dan meminta angpau di kawasan perumahan, pegawai bertugas turun padang membuat siasatan terhadap perkara tersebut.

"MBPP mengesahkan lelaki itu bukan kakitangan kami dan dia dengan niat jahat menyamar sebagai petugas pembersihan MBPP dan helah tersebut berjaya dikesan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, ketika ditahan lelaki tersebut sedang mengambil bungkusan diberikan oleh seorang penduduk di kawasan berkenaan, namun selepas ditanya mengenai butiran diri dan tindakan mengambil bungkusan itu, dia meminta maaf lalu mengaku bukan pekerja MBPP.

MBPP turut memaklumkan pemberian angpau kepada petugas pembersihan tidak dibenarkan dan meminta kerjasama daripada orang ramai untuk tidak memberi sebarang bentuk sumbangan terhadap kakitangan PBT itu.

"Sesiapa yang mendekati atau meminta angpau dalam apa jua keadaan sama ada kakitangan mbpp atau seseorang yang menyamar sebagai kakitangan PBT, laporkan segera menerusi talian Hotline MBPP 24 jam 04-2637637 (pejabat) dan 016-2004082 (Whatsapp Aduan MBPP),” menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, tular video berdurasi 1 minit 10 saat seorang lelaki memakai pakaian MBPP mengambil bungkusan daripada pemilik rumah sebelum perbuatan itu dikesan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram