UMUM mengetahui dunia pada ketika ini sedang beralih kepada dunia digital dan kebanyakan tugasan harian juga mula berubah ke arah itu.
Dalam erti kata lain, banyak tugasan yang boleh diselesaikan dengan hanya menggunakan hujung jari bagi memudahkan aktiviti seperti pembayaran secara dalam talian.
Malah kaedah pembayaran tanpa tunai dilihat semakin popular selepas dunia dilanda wabak Covid-19 kerana lebih cepat dan pengguna tidak perlu membawa wang tunai yang banyak.
Selain menggunakan e-dompet, perkhidmatan DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan yang memudahkan pengguna membuat pembayaran atau transaksi kewangan.
Bukan itu sahaja, pada ketika ini ramai individu yang sesuka hati berkongsikan gambar kod QR bank peribadi masing-masing di platform media sosial dan aplikasi Telegram serta WhatsApp.
Malah sudah menjadi kebiasaan untuk mereka menggunakan cara yang yang sama untuk menerima wang pada musim perayaan susulan penerimaan duit secara digital.
Namun, tahukah anda perbuatan seperti itu mendedahkan diri anda kepada sindiket jenayah digital apabila disalah guna? Ia tidak menjadi masalah sekiranya kod QR bank peribadi hanya dikongsikan dengan rakan dan keluarga terdekat.
Namun, tindakan segelintir individu yang memuat naik gambar kod QR bank ke laman media sosial secara terbuka hanya kerana inginkan duit raya atau angpau menjelang Tahun Baharu Cina sebenarnya mengundang risiko bahaya yang tersendiri.
Sehubungan itu Majoriti menyenaraikan tiga bahaya gambar kod QR bank peribadi masing-masing secara terbuka.
BACA LAGI: [VIDEO] Busking didakwa punca trafik sesak, ada cadang KL jadi 'car free city'
1. Mangsa kecurian identiti
Ramai yang tidak menyedari kod QR itu disebarkan dalam lautan internet tanpa sekatan dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja sekali gus boleh menyebabkan data anda dicuri.
Hal ini kerana, kod QR bank itu mengandungi data peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat penuh.
Data anda itu berisiko digunakan untuk kegunaan jenayah digital dan data peribadi anda juga boleh dicuri untuk kegunaan kegiatan yang tidak bermoral.
Pendedahan kod QR bank khususnya di media sosial amat tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan disalah guna oleh scammer melalui pancingan data untuk tujuan penyamaran dan penipuan kewangan.
2. Berwaspada dengan kod QR
Berwaspada semasa mengimbas kod daripada sumber yang tidak diketahui. — Facebook
Penjenayah boleh mencipta kod QR palsu yang kelihatan serupa dengan yang sah.
Apabila diimbas, kod QR palsu ini boleh memasang perisian hasad pada peranti anda atau membawa anda ke laman web pancingan data yang maklumat peribadi dan kewangan anda boleh dicuri.
Berwaspada semasa mengimbas kod daripada sumber yang tidak diketahui, dan cuba elakkan daripada mengimbasnya jika terdapat pilihan selamat untuk mendapatkan maklumat yang sama.
3. Jual barang tidak wujud
Salah satu cara untuk scammer menyebabkan anda didakwa adalah dengan berkongsi kod QR anda untuk orang lain. — Facebook
Laman web Wiser.my menyatakan bahawa penjenayah boleh menggunakan kod QR untuk menyamar dalam melaksanakan operasi jahat mereka.
Salah satu cara untuk scammer menyebabkan anda didakwa adalah dengan berkongsi kod QR anda untuk orang lain.
a) Scammer 'jual' barang yang tidak wujud di internet seperti Mudah.my, Facebook Marketplace.
b) Scammer kongsi kod QR akaun anda, minta pembeli (mangsa) buat pembayaran.
c) Selesai pembayaran, scammer akan hubungi anda dengan mendakwa dia tersilap transfer.
d) Scammer minta anda untuk 'kembalikan' wang kepadanya.
e) Pembeli sedar dia ditipu misalnya barang tak sampai, disekat dan sebagainya.
f) Pembeli membuat laporan polis dengan bukti transaksi pemindahan wang kepada akaun anda.
Mengikut undang-undang, anda boleh dikenakan hukuman kerana pembeli mempunyai bukti transaksi tersebut.
Walaupun anda tidak bersalah, namun jelas sekali ia boleh menyusahkan anda sekiranya terlibat dalam kes sebegini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram