SUDAH menjadi lumrah dalam dunia bola sepak apabila sesebuah kelab akan memberi kepercayaan buat bekas pemain untuk diletakkan dalam barisan kejurulatihan selepas karier masing-masing di atas padang berakhir.
Keputusan itu diambil kerana sebahagian besar daripada mereka sudah memahami identiti serta latar belakang pasukan, sekali gus memudahkan urusan menyesuaikan diri.
Hal tersebut turut dapat disaksikan dalam arena bola sepak tanah air apabila Terengganu FC menagih khidmat Badrul Afzan Razali sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC memilih sentuhan Victor Andrag.
BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL
BACA LAGI: Sudah lama tak kelihatan, Rizal Ghazali akhirnya muncul, bantu KDA FC B dalam Piala MFL
Victor Andrag merupakan bekas pemain Kedah sebelum dilantik sebagai pengendali pasukan. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, ramai tidak menyedari bahawa kepercayaan itu diberikan dalam skop lebih luas kerana terdapat bekas pemain yang kini berkhidmat buat pasukan muda di kelab lama masing-masing.
Selain diberikan khidmat sebagai pengendali utama, ada juga yang hanya memikul peranan pembantu jurulatih memandangkan masih setahun jagung dalam bidang terbabit.
Meskipun faktor di sebalik pendekatan tersebut tidak diceritakan secara jelas, kemungkinan besar khidmat mereka ditagih atas sebab kewangan atau disebabkan hubungan baik dengan pihak pengurusan.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga bekas pemain yang kini terlibat dalam saingan Piala MFL buat pasukan pernah disertai dalam karier.
1. Ismail Faruqi (Terengganu FC)
Seperti dinyatakan di atas, skuad Sang Penyu merupakan antara pasukan mengambil keputusan melantik bekas pemain, iaitu Badrul Afzan yang pernah beraksi buat kelab Pantai Timur itu pada era semi-pro.
Kepercayaan sedemikian tidak terhenti di situ kerana dalam skuad muda, terdapat beberapa nama yang pasti sinonim dengan penyokong Terengganu FC memandangkan satu ketika dahulu, mereka pernah beraksi ligat di atas padang.
Ini termasuk Ismail Faruqi Asha'ri yang baru sahaja menggantung but kurang dari lima tahun lalu selepas menghabiskan majoriti daripada zaman permainannya di negeri kelahirannya itu.
Ismail Faruqi bersama Hanis Safwan (belakang) dalam skuad muda Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC II
Dia kini bertugas sebagai pembantu kepada pengendali, Haris Safwan Kamal yang bagaimanapun tidak pernah beraksi buat skuad Sang Penyu, namun menghabiskan masa kira-kira tiga musim bersama T-Team.
Namun, perlu diingatkan bahawa berdasarkan laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ismail masih belum terlibat dalam Terengganu FC II yang menjulang Piala MFL musim lalu.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 38 tahun itu masih boleh mengulangi pencapaian bermakna itu kerana pasukannya berada di tangga ketiga selepas 20 perlawanan.
2. Shahrizan Salleh (Sri Pahang FC)
Sejak kira-kira tiga musim lalu, skuad Tok Gajah sememangnya meletakkan kepercayaan penuh buat dua legenda kelab, Fandi Ahmad dan Datuk Dollah Salleh dalam barisan kejurulatihan pasukan utama.
Namun, tahukah anda bahawa pasukan muda mereka turut menggunakan pendekatan sama apabila melantik bekas pemain pertahanan, Shahrizan Salleh yang menyarung jersi kelab itu sebanyak dua kali sebelum bersara.
Anak jati Pekan, Pahang tersebut difahamkan bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Yazeed Hamzah sejak awak musim lalu dengan sentuhannya diharapkan dapat menyuntik semangat buat pemain muda.
Aura Shahrizan diharapkan mampu menyuntik semangat kepada pemain muda. — Facebook/Sri Pahang FC
Rekodnya yang pernah menjulang dua gelaran Piala Malaysia dan Piala FA 2014 amat diharapkan dapat memacu kesungguhan buat skuad muda Tok Gajah, namun ia masih belum membuahkan hasil terbaik ketika ini.
Berdasarkan carta semasa, Sri Pahang FC berada di kedudukan kelima Piala MFL dengan 15 mata diperlukan untuk memintas pasukan di tangga teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) II.
Tetapi, di sebalik rekod kurang memuaskan pasukan itu, hasil daripada kehadiran Shahrizan dapat disaksikan kerana ada daripada pemain muda yang berjaya menembusi pasukan utama sejak awal musim 2024/25.
3. Joseph Kalang Tie (Kuching City FC)
Joseph Kalang Tie boleh diangkat sebagai antara pemain terbaik pernah dilahirkan di Sarawak dengan keunggulannya dapat disaksikan di Borneo tanah air mahupun buat skuad kebangsaan.
Selepas menghabiskan sebahagian besar daripada kariernya di negeri kelahiran, dia kemudian berkelana ke Semenanjung tanah air untuk beraksi buat Selangor, Pahang dan Terengganu.
Namun, sejak kembali ke Sarawak untuk menyertai Kuching City FC, anak kelahiran Marudi, Sarawak itu seakan-akan hilang dari radar sejak kali terakhir beraksi pada 2023.
Joseph menceburi bidang kejurulatihan bersama skuad muda The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Tetapi, Joseph sebenarnya masih terlibat dalam sukan terbabit kerana kini bergelar pembantu jurulatih kepada Oleg Kuzmianok dalam skuad Piala MFL buat kelab berkenaan.
Pendedahan dalam dunia itu sudah tentu dapat melonjakkan lagi namanya sebagai pengendali meskipun pasukan berkenaan kini menduduki tangga kedua tercorot carta.
Sekiranya jurulatih berusia 37 tahun itu mampu mengubah kisah pasukan berkenaan, terdapat kemungkinan dia dapat melangkah ke peringkat lebih jauh, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram