
SEHINGGA hari ini, setiap keputusan diambil Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya akan mencetuskan tentangan daripada peminat yang berasakan badan pengelola liga itu sepatutnya lebih cakna menerusi langkah diambil.
Ini kerana masing-masing beranggapan strategi diambil, baik dari segi penetapan jadual serta hala tujunya memiliki kepentingan tersendiri selain tidak mempunyai perancangan terbaik.
Contohnya, ketika Datuk Stuart Ramalingam masih bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 2023, tindakan mengumumkan hak penyiaran kepada dua stesen televisyen menimbulkan persoalan.
BACA LAGI: Ada kaitan dengan Sang Penyu, CEO Harimau Malaya rupanya rakan sepasukan legenda Terengganu
BACA LAGI: Siaran Liga Super Unifi berakhir? MFL perjelas teka-teki hak penyiaran
Stuart Ramalingam merupakan bekas CEO MFL sebelum digantikan Giorgio Pompili Rossi.
Bagi penyokong, keengganan untuk mencuba memperluaskan liputan ke luar negara menunjukkan MFL terlalu pasif dalam mencuba menarik sumber kewangan baharu dan akan merugikan setiap pasukan.
Situasi itu berlangsung sehingga hari ini apabila masing-masing melontarkan persoalan kepada badan pengelola tersebut mengenai pendekatan diambil untuk menangani masalah kewangan dialami hampir semua pasukan.
Hal tersebut disuarakan seorang pengguna Facebook, Zuraimi Zukri yang menjelaskan penubuhan MFL 10 tahun lalu bertujuan untuk memastikan kelab Liga Malaysia menerima suntikan dana mencukupi.
"Semasa MFL ditubuhkan, satu objektif besarnya yang dijaja adalah untuk beri setiap kelab RM3 juta dalam bentuk pendapatan hak siaran. Pada masa itu, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dikatakan makan banyak duit dan bagi sikit pada pasukan bertanding.
"Semua pasukan pun gembira kerana ada pihak yang mahu memperjuangkan pendapatan mereka. Lepas hampir 10 tahun ditubuhkan, dah dapat ke RM3 juta semusim?" soalnya.
Berdasarkan landskap bola sepak secara am, pendapatan menerusi hak penyiaran merupakan sumber kewangan terbesar kerana kutipan jualan tiket serta penjualan barangan tidak dapat menampung kos operasi.
Jadi, tidak hairanlah apabila Liga Malaysia mengalami kesukaran untuk melangkah lebih jauh sekiranya setiap pasukan tidak dapat suntikan dana mencukupi daripada badan pengelola sendiri.
Zuraimi dalam hantaran sama turut menyatakan rasa kurang senang apabila hanya pihak pengurusan kelab dipersalahkan atas setiap isu yang berbangkit sementara badan bertanggungjawab dapat mengelakkan diri.
"Sekarang, semua salah kelab. Dulu salah FAM dan MFL (kerana) gagal capai objektif pun mereka sekarang masih betul. Dulu kelab memang tak salah. Mereka ada 26, ada dua divisyen pro dan ribuan anak tempatan main dalam tu kan. Meriah.
"Apabila semakin sendu, makin mundur dan makin bermasalah, ya semuanya salah kelab. FAM dan MFL langsung tak salah. Objektif ke laut, malah jadual mengalahkan budak sekolah rendah yang buat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram