SEPANJANG musim lepas, para penyokong bola sepak tempatan mengikuti perkembangan perlawanan kelab kegemaran masing-masing menerusi saluran YouTube Unifi yang ditayangkan secara percuma.
Selain YouTube, penyokong juga boleh menonton turnamen bola sepak dan kejohanan Piala FA serta Piala Malaysia di stesen televisyen RTM (Radio Televisyen Malaysia).
Bagi kejohanan musim 2023, pihak penyiar utama saingan Liga Super masih menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong.
Ini selepas terdapat cakap-cakap mengatakan Unifi tidak akan menjadi penyiar utama lagi dan kemungkinan hak penyiaran diberikan kepada Astro seperti sebelum ini.
Khabar angin itu juga mengatakan RTM bakal menjadi rakan penyiar rasmi tetapi butiran lanjut berhubung pembahagian siaran perlawanan masih lagi belum diketahui.
Tambahan lagi, bukan semua peminat melanggan saluran Astro, malah ada yang menamatkannya kerana muak dengan program berulang-ulang di saluran berbayar itu.
Aplikasi Sooka memancarkan perlawanan daripada Astro SuperSport.
Memberi respons terhadap persoalan itu, pihak Malaysian Football League (MFL) memaklumkan pengumuman tentang penyiar rasmi Liga Super 2023 akan dibuat dalam masa terdekat.
"MFL akan membuat pengumuman tentang penyiar rasmi Liga Super 2023 kelak," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam kepada Majoriti pada Selasa.
Dengan teknologi sedia ada, mungkin juga perlawanan baik Liga Super ataupun Liga Perdana disiarkan di aplikasi Sooka, hasil manfaat kerjasama dengan Astro.
Sooka memancarkan perlawanan daripada Astro SuperSport dan boleh ditonton di telefon bimbit secara perperlawanan atau langganan berbayar.
Apapun, diharapkan pihak MFL dapat memberi hak penyiaran sama rata supaya peminat dapat mengikuti perlawanan kelab sokongan masing-masing selain terus memeriahkan Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram