PENCERAMAH selebriti, Ustaz Ebit Lew menitip rasa syukur usai menang kes saman fitnah membabitkan Mondy ataupun nama sebenarnya, Dita Restu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Saman pampasan sebanyak RM20,000 perlu dilangsaikan Mondy ke atas pendakwah berkenaan yang menurutnya satu keputusan yang cukup melegakan.
Justeru, Ebit Lew seterusnya bakal memfailkan saman terhadap penyanyi hip hop dan pempengaruh terkenal, Caprice yang dijadualkan pada Mei 2025.
"Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH saya menang saman pada Mondy, beliau diminta membayar RM20,000 yang diputuskan Mahkamah Seksyen Shah Alam.
"Saman saya kepada Caprice yang menyiarkan podcast itu akan berlangsung pada Mei 2025 insya-ALLAH," katanya di Facebook pada Rabu.
Kes berkenaan difahamkan melibatkan penyiaran podcast bersama Mondy yang sebelum ini mencetuskan kontroversi sehingga menjejaskan reputasinya sebagai pendakwah.
Dalam pada itu, Caprice menerusi hantaran di Instagram pada Rabu tampil membidas perkara tersebut yang disifatkan tidak adil.
Jelasnya, ketiadaan Mondy pada perbicaraan mahkamah tersebut sekali gus membuatkan keputusan menyebelahi Ebit.
"Sebab orang tu tak pernah hadir, automatik menang kes, takpa semalam kalah dia pun nak rasa menang, kasi la dia gembira sikit.
"Dont delete my comment, dah tiga kali komen admin tengah rajin delete kot," katanya.
Terdahulu, Caprice berkongsi berita kemenangan melawan injunksi interim ke atas pendakwah tersebut pada Selasa.
Katanya, Ebit perlu membayar sejumlah wang berdasarkan tetapan mahkamah dan pihaknya dibenarkan untuk memberi sebarang liputan berkaitan kes terpalit penceramah terbabit.
Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Oktober lalu mengeluarkan perintah injunksi interim kepada Ebit, sekali gus menghalang Caprice serta pempengaruh, Mondy Tattoo daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap pendakwah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram